HomeUtamaUMS santuni komuniti menerusi program CSR di SK Kaingaran, Tambunan

UMS santuni komuniti menerusi program CSR di SK Kaingaran, Tambunan

Read Time:1 Minute, 25 Second

TAMBUNAN : Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), menganjurkan Program ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) Eksplorasi Ilmu di SK Kaingaran, Tambunan bagi menyemai budaya membaca, memperkukuh literasi maklumat serta memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif libatsama komuniti UMS yang turut bertujuan membuka ruang kepada murid untuk mengenali potensi diri dan berani mengejar cita-cita.

“Kami percaya bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan, manakala ilmu menjadi asas kepada kemajuan sesebuah masyarakat.

“Setiap usaha yang dilaksanakan hari ini merupakan pelaburan untuk masa depan anak-anak dan generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan program tersebut baru-baru ini.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk menceriakan pusat sumber sekolah, menambah baik kemudahan sekolah, mengadakan aktiviti pembelajaran interaktif serta menyampaikan sumbangan buku kepada sekolah.

Zawawi berharap agar sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai  pemangkin kepada pembudayaan amalan membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Setiap naskhah buku bukan sekadar bahan bacan, tetapi merupakan jambatan kepada ilmu, imaginasi dan masa depan.

“Ilmu ialah harta yang tidak akan berkurang apabila berkongsi, sebaliknya akan terus bertambah apabila dicari dan dimanfaatkan.

“Oleh itu jadikan membaca sebagai amalan harian, jangan takut untuk bertanya dan sentiasalah berusaha menjadi insan yang lebih baik setiap hari,” ujarnya.

Beliau percaya SK Kaingaran berpotensi melahirkan lebih ramai guru, doktor, jurutera, saintis, usahawan dan pemimpin yang akan menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap program tersebut menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif libatsama komuniti yang dapat memberi manfaat kepada sekolah serta masyarakat setempat.

Hadir sama pada program tersebut wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan, Laura Tiwon; Guru Besar SK Kaingaran, Carnelia Rasin; dan Pengarah U-Science UMS, Md. Sazali Md. Salleh.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Tapak projek naik taraf Hospital Ranau sedang dikenal pasti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular