KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan keberkesanan peruntukan lebih RM100 juta yang disalurkan bagi pembangunan belia di Sabah, dengan menyatakan impaknya masih belum jelas dalam melahirkan ikon usahawan dan atlet muda negeri ini.
Ketika mengemukakan soalan tambahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, beliau berkata peruntukan yang besar itu sepatutnya mampu menghasilkan lebih ramai belia Sabah yang berjaya dan boleh dijadikan contoh kepada generasi muda.
“Saya nampak kesannya tidak begitu ketara sangat dari segi outcome untuk melahirkan ikon. Saya tidak nampak ikon usahawan belia anak Sabah yang boleh kita tampilkan supaya menjadi contoh kepada yang lain,” katanya.
Shafie berkata kementerian perlu melihat pembangunan belia secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada bidang tertentu seperti keusahawanan dan sukan.
Beliau turut membangkitkan keperluan melahirkan lebih ramai atlet bertaraf tinggi seperti legenda bola sepak Sabah, James Wong, selain memperkukuhkan pembangunan usahawan muda dalam pelbagai sektor.
Menurutnya, kementerian juga wajar mewujudkan pangkalan data usahawan muda di seluruh Sabah bagi mengenal pasti individu berpotensi dalam bidang seperti makanan dan minuman (F&B), tekstil, fesyen serta kraftangan.
Katanya, produk berasaskan sumber tempatan seperti rotan dan tekstil Sabah mempunyai potensi untuk diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa sekiranya dibangunkan secara sistematik.
“Saya ingin tahu sama ada kementerian mempunyai rancangan yang begitu komprehensif dalam pelbagai sektor untuk melahirkan belia Sabah yang bukan sahaja menjadi contoh kepada anak-anak Sabah, bahkan juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, berkata kementerian sedang merangka pelbagai struktur dan perancangan bagi membina masa depan atlet serta golongan belia di negeri ini.
Beliau berkata, peruntukan melebihi RM100 juta yang dibelanjakan sejak 2020 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan belia.
“Kita sedang memperbaiki dan memperkukuhkan segala perancangan. Produk-produk tempatan memang ada dan telah menunjukkan pencapaian, namun kita perlu meneliti setiap aspek secara lebih terperinci bagi memastikan semua usaha yang dirancang dapat direalisasikan,” katanya.



