KOTA KINABALU : Kementerian Wanita, Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) bercadang untuk memperluaskan pewujudan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di semua pejabat Kerajaan Negeri.
Menterinya Datuk Julita Majungki berkata, pihaknya kini sedang dalam proses menyediakan standard prosedur dan peraturan untuk tujuan berkenaan.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Tanjung Keramat, Kerajaan Negeri prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang mematuhi piawaian keselamatan premis dan berkualiti.
“Sehubungan itu, Kementerian saya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) telah menyediakan sebuah TASKA di bangunan Wisma Wanita yang memanfaatkan ibu bapa di kalangan penjawat awam dari jabatan berdekatan.
“Begitu juga dengan Menara Kinabalu, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya dan Kompleks Yayasan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (GRS-Tanjung Keramat) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Julita berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga turut menyediakan Taska Perpaduan iaitu program asuhan dan didikan awal kanak-kanak.
Katanya, terdapat dua buah Taska Perpaduan kendalian JPNIN di Negeri Sabah iaitu Taska Perpaduan Nosoob Baru, Penampang dan Taska Perpaduan Goshen, Kota Marudu.



