HomeUtamaDUN Sabah: Tamu Kota Belud diperkasa menerusi Geopark UNESCO, pengiktirafan Tapak Warisan...

DUN Sabah: Tamu Kota Belud diperkasa menerusi Geopark UNESCO, pengiktirafan Tapak Warisan Dunia perlukan penelitian

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh usaha memelihara dan mempromosikan Tamu Kota Belud menerusi pelbagai inisiatif di bawah Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp), namun cadangan untuk mengiktirafnya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memerlukan proses yang panjang serta penelitian menyeluruh.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsulreezal Mohd Sainal, berkata daerah Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada KUGGp sejak Mei 2023.

Beliau berkata, susulan pengiktirafan itu, Taman-Taman Sabah sebagai agensi peneraju KUGGp melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pemuliharaan dan promosi warisan budaya daerah melalui penganjuran Tamu Geopark.

“Program ini mengangkat Tamu Kota Belud sebagai platform mempromosikan gastronomi, pakaian tradisional, kraftangan, seni budaya, produk tempatan serta geoproduct berasaskan komuniti.

“Pada masa sama, ia meningkatkan nilai tambah sektor pelancongan dan menjana manfaat ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Selasa.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu dibuat secara kolaboratif menerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pemerkasaan Komuniti Daerah Kota Belud melibatkan Pejabat Daerah Kota Belud, Majlis Daerah Kota Belud, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Sabah Tourism Board (STB), Muzium Sabah serta komuniti tempatan.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memperkukuh pemeliharaan dan promosi warisan budaya daerah secara bersepadu.

Mengulas cadangan mengiktiraf Tamu Kota Belud sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, beliau berkata proses pencalonan memerlukan persediaan yang komprehensif serta mengambil tempoh yang panjang.

Antara keperluan utama ialah kajian menyeluruh terhadap elemen warisan budaya ketara dan tidak ketara, pendokumentasian sumber warisan termasuk struktur atau tinggalan bersejarah yang berkaitan, penyediaan bukti sejarah dan saintifik yang kukuh serta pembuktian Outstanding Universal Value (OUV) mengikut kriteria yang ditetapkan UNESCO.

Selain itu, katanya, sebarang cadangan pencalonan perlu melalui proses pengenalpastian, pendokumentasian dan pengiktirafan di peringkat negeri serta kebangsaan mengikut perundangan dan mekanisme warisan yang berkuat kuasa sebelum boleh dipertimbangkan untuk pencalonan ke peringkat UNESCO.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Kerajaan negeri disaran laksana pelan tindakan autisme Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular