KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan pemberian insentif termasuk pengecualian Cukai Jualan Negeri (CJN) kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan hiliran (downstream) di negeri ini bagi menggalakkan pelaburan bernilai tambah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan itu sedang diteliti menerusi kajian semula terhadap pelaksanaan CJN yang dikenakan ketika ini.
Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat memproses hasil komoditi di Sabah berbanding mengeksport bahan mentah.
“Kita dalam proses sebenarnya untuk meneliti semua CJN yang pada masa ini dikenakan bagi memastikan ia dapat menggalakkan syarikat-syarikat menjalankan aktiviti pemprosesan hiliran di dalam negeri,” katanya ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Masidi menjelaskan, CJN berbeza daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan yang berlainan.
“CJN dan SST adalah berbeza. SST dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan, manakala CJN dikenakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri sedang meneliti pelaksanaan CJN ke atas industri minyak sawit bagi memastikan dasar percukaian tersebut dapat menyokong pembangunan industri hiliran.
Menurutnya, kerajaan telah mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan pada Jun lalu bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan berkenaan.
“Bagi syarikat yang ingin memproses minyak sawit di dalam negeri, barangkali itu sesuatu yang kita boleh fikirkan untuk memberi insentif agar tidak dikenakan CJN atau jika dikenakan sekali pun pada kadar yang munasabah,” katanya.
Masidi berkata, pendekatan itu juga membolehkan syarikat menggunakan penjimatan yang diperoleh untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkukuh aktiviti pemprosesan hiliran di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus meneliti cadangan tersebut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan bagi memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan dapat merangsang pertumbuhan industri dan meningkatkan nilai tambah kepada ekonomi negeri.



