Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kini memperkukuhkan pendekatan mitigasi secara menyeluruh bagi menangani konflik antara manusia dan hidupan liar, termasuk serangan gajah liar, babi hutan, monyet serta spesies lain yang menjejaskan hasil pertanian dan pendapatan petani.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsulreezal Mohd Sainal, berkata pelbagai langkah segera dan jangka panjang dilaksanakan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi mengurangkan risiko konflik di lapangan dan memastikan pengurusan yang lebih mampan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Arunarnsin Taib (Gum-Gum) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan yang diambil adalah berdasarkan sifat, ekologi dan punca konflik bagi setiap spesies serta keadaan sesuatu kawasan.
Katanya, kerajaan juga menyedari kaedah menangkap dan memindahkan hidupan liar bukan penyelesaian jangka panjang kerana hanya memindahkan masalah ke kawasan lain tanpa menangani punca sebenar konflik.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang memperkukuhkan pendekatan mitigasi secara menyeluruh melalui peningkatan kesedaran masyarakat, penglibatan komuniti serta penggunaan kaedah pencegahan yang lebih berkesan.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah juga sentiasa menambah baik prosedur operasi dan berkongsi kepakaran dengan pasukan mitigasi yang ditubuhkan bersama komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi menangani konflik gajah ialah penubuhan Pasukan Renjer Pengiring Gajah di kawasan panas (hotspot) yang sering berlaku konflik.
Menurutnya, pasukan yang disertai komuniti tempatan itu diberikan latihan mengenai tingkah laku gajah, kaedah mengendalikan konflik secara selamat serta teknik menghalau haiwan berkenaan tanpa mencederakannya.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan lebih pantas di lapangan di samping meningkatkan keupayaan komuniti dalam mengurus konflik,” katanya.
Mengulas langkah khusus mengikut spesies, beliau berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah melaksanakan aktiviti pengurangan populasi monyet secara terkawal di kawasan tertentu, khususnya bagi mengurangkan risiko penyakit zoonotik dan menjaga keselamatan awam, bukannya sebagai penyelesaian utama konflik manusia dan hidupan liar.
Bagi konflik melibatkan gajah liar pula, katanya, jabatan memasang kolar satelit pada individu tertentu bagi memantau pergerakan dan corak penggunaan habitat.
“Data pemantauan ini membantu jabatan memahami laluan pergerakan gajah serta merancang tindakan mitigasi yang lebih berkesan, termasuk memberi amaran awal kepada komuniti yang berisiko,” katanya.
Beliau berkata, bagi konflik melibatkan babi hutan, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut melaksanakan tindakan kawalan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan penilaian risiko dan aduan di kawasan terjejas.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan pendekatan berasaskan sains menerusi pemantauan berterusan, penyelidikan, penggunaan teknologi, penglibatan komuniti serta kerjasama strategik bagi memastikan keseimbangan antara pemuliharaan hidupan liar dan kesejahteraan masyarakat.
“Kerajaan komited memastikan konflik manusia dan hidupan liar dapat diurus secara mampan dengan mengambil kira keselamatan rakyat, kelangsungan sektor pertanian serta pemuliharaan biodiversiti Sabah,” katanya.



