HomePendapatIndustri Sukan Malaysia Bernilai RM24 Bilion — Sudahkah Kita Memanfaatkan Potensinya?

Industri Sukan Malaysia Bernilai RM24 Bilion — Sudahkah Kita Memanfaatkan Potensinya?

Read Time:3 Minute, 35 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 yang berakhir semalam membuktikan bahawa sukan merupakan aktiviti yang menarik minat dan mendapat sambutan ramai, sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Aktiviti sukan juga menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara dengan menjana pendapatan yang besar serta menyediakan pelbagai peluang pekerjaan.

Pada penghujung Jun 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Laporan Akaun Satelit Sukan 2024 (SSA 2024). Laporan tersebut menonjolkan prestasi industri sukan negara, termasuk Nilai Ditambah Kasar Industri Sukan (NDKIS), perdagangan produk sukan dan guna tenaga dalam industri berkenaan.

Berdasarkan definisi DOSM, industri sukan merujuk kepada segala perkara yang berkaitan dengan sukan, merangkumi produk, perkhidmatan, fasiliti, teknologi, program, acara dan aktiviti yang menyumbang kepada sosioekonomi.

Secara amnya, industri sukan melibatkan empat komponen utama, iaitu perkhidmatan (kecuali borong dan runcit), pembuatan, pembinaan serta borong dan runcit.

Laporan SSA 2024 menunjukkan bahawa industri sukan negara terus berkembang rancak, dengan nilai dan perdagangan mencatatkan trend peningkatan yang konsisten. Pada 2024, NDKIS mencapai RM24.06 bilion, meningkat sebanyak 7.8% berbanding RM22.32 bilion pada 2023.

Daripada jumlah NDKIS sebanyak RM24.06 bilion itu, dua komponen terbesar ialah perkhidmatan, yang bernilai RM10.0 bilion, serta borong dan runcit, sebanyak RM7.7 bilion.

Secara keseluruhan, NDKIS menyumbang 1.3% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara yang berjumlah RM1,932 bilion. Sepanjang tempoh 10 tahun antara 2015 hingga 2024, sumbangan NDKIS kepada KDNK negara kekal stabil pada kadar antara 1.1% hingga 1.3%.

Walaupun peratusan sumbangannya kepada KDNK negara kekal stabil dan kecil, nilai NDKIS melonjak lebih 60% dalam tempoh tersebut, daripada RM14.842 bilion kepada RM24.060 bilion.

Komponen perkhidmatan turut mencatatkan lonjakan besar, iaitu hampir 60%, daripada RM6.315 bilion kepada RM10.018 bilion.

Perdagangan industri sukan negara juga semakin rancak dan merekodkan lebihan dagangan apabila nilai eksport mengatasi import. Pada 2024, eksport produk sukan berjumlah RM10.3 bilion. Jumlah ini merangkumi barangan sukan bernilai RM9.5 bilion atau 91.4%, serta perkhidmatan sukan bernilai RM0.9 bilion atau 8.6%.

Eksport produk sukan menyumbang 0.8% kepada keseluruhan eksport negara.

Import produk sukan pula berjumlah RM7.2 bilion, merangkumi barangan sukan bernilai RM6.8 bilion atau 94.8%, serta perkhidmatan sukan bernilai RM0.4 bilion atau 5.2%. Import produk sukan menyumbang 0.6% kepada keseluruhan import negara.

Lebih memberangsangkan, sepanjang tempoh 2015 hingga 2024, eksport produk sukan mencatatkan peningkatan sebanyak 38%, daripada RM7.506 bilion pada 2015 kepada RM10.342 bilion pada 2024.

Eksport barangan sukan meningkat daripada RM7.254 bilion kepada RM9.456 bilion, manakala eksport perkhidmatan sukan melonjak daripada RM252 juta kepada RM886 juta.

Pada masa yang sama, import produk sukan meningkat daripada RM3.316 bilion kepada RM7.193 bilion. Import barangan sukan meningkat daripada RM3.114 bilion kepada RM6.816 bilion, manakala import perkhidmatan sukan meningkat daripada RM202 juta kepada RM377 juta.

Industri sukan turut menyediakan pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia. Dari aspek guna tenaga, industri ini merangkumi 1.2% daripada keseluruhan guna tenaga negara. Jumlah pekerjanya meningkat daripada 196,900 orang pada 2023 kepada 198,400 orang pada 2024.

Sebahagian besar pekerja berada dalam komponen perkhidmatan, iaitu sebanyak 40.8%, diikuti pembuatan sebanyak 30.0%, borong dan runcit sebanyak 28.3%, serta pembinaan sebanyak 0.9%.

Seiring dengan pertumbuhan industri sukan negara, jumlah pampasan pekerjanya turut meningkat, daripada RM6.136 bilion pada 2015 kepada RM9.255 bilion pada 2024.

Justeru, usaha wajar dipertingkatkan untuk terus merancakkan industri sukan negara, termasuk dengan menganjurkan aktiviti sukan yang mampu menarik minat dan penyertaan pada peringkat tempatan, serantau serta global.

Selain sukan arus perdana seperti bola sepak, badminton, sukan permotoran dan lumba basikal, Malaysia juga boleh mewujudkan segmen khusus melalui penganjuran aktiviti sukan alternatif yang tidak memerlukan kos penganjuran yang tinggi atau pembinaan fasiliti yang mahal. Ini termasuk memanfaatkan kekayaan alam semula jadi negara untuk menganjurkan aktiviti sukan lasak di sungai, hutan dan gunung.

Hasil usaha pelbagai pihak, Malaysia sudah berjaya dikenali sebagai destinasi yang hebat bagi penganjuran acara dalam sektor Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE). Pada Oktober 2025, Malaysia menerima pengiktirafan sebagai “Best MICE Destination” dalam Global Tourism Forum. Pengiktirafan ini menyerlahkan keupayaan negara dari segi fasiliti, infrastruktur dan kepakaran yang cemerlang.

Selaras dengan pencapaian tersebut, Malaysia boleh memanfaatkan pengiktirafan berkenaan untuk terus merancakkan industri sukan negara. Usaha ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan kepada negara, malah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah tidak setuju kuota diesel 200 liter

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular