HomePendapatDi Sebalik Krisis Global, Ekonomi Malaysia Terus Mengukuh

Di Sebalik Krisis Global, Ekonomi Malaysia Terus Mengukuh

Read Time:3 Minute, 27 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta memastikan kadar inflasi kekal stabil tanpa lonjakan yang membebankan rakyat. Pencapaian ini direkodkan ketika negara berdepan dengan kesan konflik geopolitik di Timur Tengah yang telah mengganggu bekalan dan harga bahan api.

Dua hari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 berkembang sebanyak 5.8%, lebih tinggi berbanding 5.4% pada suku pertama 2026.

Sejak suku pertama 2024, pertumbuhan KDNK negara kekal stabil dan konsisten pada kadar antara 4.2% hingga 6.2%. Sepanjang tempoh tersebut, nilai KDNK suku tahunan negara meningkat daripada RM397.8 bilion kepada RM445.1 bilion.

Secara keseluruhan, KDNK negara berkembang sebanyak 5.6% bagi separuh pertama 2026, iaitu dari Januari hingga Jun. Kadar ini merupakan pertumbuhan separuh pertama tahun yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun, dari 2024 hingga 2026.

Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8% pada suku kedua 2026 dipacu oleh perkembangan dalam beberapa sektor ekonomi utama. Sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan tertinggi apabila melonjak sebanyak 10.2%, selepas menguncup 2.1% pada suku pertama 2026.

Lonjakan besar tersebut disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor gas asli.

Sektor pembuatan turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 7.5%. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal; produk petroleum, kimia, getah dan plastik; serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka.

Kadar 7.5% itu merupakan pertumbuhan tertinggi sektor pembuatan sejak mencatatkan 2.1% pada suku pertama 2024. Trend peningkatan ini membuktikan bahawa sektor pembuatan semakin kukuh dan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negara.

Sektor pembinaan pula berkembang pada kadar yang lebih perlahan, iaitu 6.6%, terendah dalam tempoh 10 suku tahun. Selepas mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 20.9% pada suku keempat 2024, momentum pertumbuhan sektor pembinaan semakin perlahan secara konsisten.

Sebaliknya, pertanian merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan penguncupan pada suku kedua 2026, iaitu sebanyak 3.7%, berbanding pertumbuhan 2.6% pada suku sebelumnya. Penguncupan tersebut disebabkan oleh prestasi lemah subsektor kelapa sawit dan perikanan.

Pada masa yang sama, kadar inflasi negara kekal rendah meskipun pertumbuhan KDNK terus kukuh. Menurut laporan DOSM, Malaysia merekodkan kadar inflasi sebanyak 1.9% pada Jun 2026, menurun sedikit berbanding 2.0% pada Mei 2026.

Sepanjang tempoh setahun dari Jun 2025 hingga Jun 2026, kadar inflasi negara menunjukkan trend peningkatan. Namun begitu, kadarnya masih rendah dan stabil pada paras 2.0% atau lebih rendah, tanpa lonjakan mendadak dalam harga barangan dan perkhidmatan.

Daripada 13 kumpulan utama, kenaikan tertinggi direkodkan oleh kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan, iaitu sebanyak 5.7%. Kumpulan ini diikuti oleh penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan pada kadar 3.4%; minuman beralkohol dan tembakau sebanyak 2.8%; serta pengangkutan sebanyak 2.8%.

Berikutan peningkatan berterusan dalam kos insurans dan perkhidmatan kewangan, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat. Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Kewangan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan memperkenalkan program rintis Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas, atau MediAsas, pada penghujung Julai 2026. Pelan itu dijadualkan dilancarkan sepenuhnya mulai Januari 2027.

Menurut beliau, MediAsas akan membolehkan rakyat mendapatkan perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan untuk jangka panjang.

Sementara itu, kadar inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman kekal pada 1.4% bagi suku pertama dan suku kedua 2026. Subkumpulan makanan di luar rumah mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 2.4%, manakala makanan di rumah hanya meningkat 0.5%.

Subkumpulan sayur-sayuran pula mencatatkan kadar inflasi negatif 1.8%, selari dengan kadar negatif 1.5% pada Mei 2026. Ini menunjukkan bahawa harga sayur-sayuran di pasaran telah menurun selama dua bulan berturut-turut.

Subkumpulan makanan lain turut mencatatkan kadar inflasi yang rendah. Antaranya ialah buah-buahan dan kekacang sebanyak 1.0%, ikan dan makanan laut lain sebanyak 1.4%, susu, produk tenusu lain dan telur sebanyak 0.1%, serta daging sebanyak 1.5%.

Pertumbuhan ekonomi yang kukuh, disertai kadar inflasi yang rendah, merupakan kombinasi ideal untuk kesejahteraan rakyat. Pertumbuhan ekonomi berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, manakala kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang terkawal dapat membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah tidak setuju kuota diesel 200 liter

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular