KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran menyediakan anggaran belanjawan tahunan yang lebih realistik pada masa depan agar mencerminkan keperluan sebenar perbelanjaan serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tambahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata, berkata walaupun tiada mana-mana wakil rakyat menolak keperluan kerajaan mendapatkan peruntukan tambahan bagi tujuan pembangunan, setiap perbelanjaan perlu melalui penelitian yang teliti demi memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2026 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, fungsi utama DUN bukan sekadar meluluskan bajet negeri, malah memastikan setiap peruntukan mempunyai justifikasi yang jelas, memberi manfaat kepada rakyat serta bebas daripada pembaziran, pertindihan projek dan ketirisan.
Sarifuddin berkata beliau meneliti cadangan peruntukan tambahan berjumlah RM1.61 bilion, termasuk RM435.54 juta bagi perbelanjaan pembangunan, dan menyambut baik peruntukan terbesar sebanyak RM233.7 juta kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, khususnya bagi projek bekalan air.
Katanya, peruntukan bagi projek bekalan air seperti Rancangan Air Sabah dan menaik taraf loji rawatan air wajar ditambah kerana masalah bekalan air masih menjadi isu utama di seluruh negeri, termasuk di kawasan Merotai.
Beliau turut mempersoalkan pertambahan peruntukan pelaburan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi ekuiti sebanyak RM210 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM280 juta bagi tahun ini.
Menurutnya, kerajaan perlu menilai semula keberkesanan GLC yang tidak memberi pulangan dan mengelakkan pertindihan fungsi antara syarikat milik kerajaan bagi mengurangkan kos operasi serta meningkatkan keuntungan kepada negeri.
Pada masa sama, beliau menasihatkan Kementerian Kewangan supaya memastikan unjuran belanjawan tahunan lebih tepat kerana peruntukan tambahan berjumlah RM1.612 bilion bersamaan kira-kira 25 peratus daripada belanjawan asal RM6.402 bilion, sekali gus menunjukkan anggaran awal tidak mencerminkan keperluan sebenar.
Beliau bagaimanapun menegaskan tetap menyokong peruntukan tambahan itu, khususnya bagi pembangunan infrastruktur seperti bekalan air dan jalan raya, dengan harapan setiap perbelanjaan dapat dilaksanakan secara berhemah, berintegriti dan memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.



