HomeUtamaDUN Sabah : 13 kes kecurian kabel voltan sederhana dilaporkan di KK,...

DUN Sabah : 13 kes kecurian kabel voltan sederhana dilaporkan di KK, Karambunai tahun lalu

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Sabah Electricity merekodkan sebanyak 13 kes kecurian kabel voltan sederhana (11kV dan 33kV) yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai sepanjang tahun lalu.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata, dari jumlah itu sebanyak tujuh kes berlaku di kawasan Kota Kinabalu dan selebihnya di kawasan Karambunai.

“Sehingga Jun tahun ini, sebanyak lima kes direkodkan iaitu satu kes direkodkan di kawasan Kota Kinabalu dan empat kes di kawasan Karambunai.

“Sabah Electricity memandang serius isu kecurian kabel kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Aliakbar Gulasan (Karambunai-PN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, Ruddy berkata, Sabah Electricity telah memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan melalui rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko, termasuk menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan bagi kawasan DUN Karambunai dari Januari hingga Jun 2026 telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kejadian kecurian kabel serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di lapangan.

“Disamping itu, Sabah Electricity turut mempertingkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi mempercepatkan tindakan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan melalui Sabah Electricity akan terus memperkukuhkan usaha-usaha pencegahan, meningkatkan rondaan di kawasan hotspot serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan aset utiliti dan kesinambungan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Shafie persoal penukaran FD kepada RPS dalam SDB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular