Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan hak autonomi negeri, khususnya kuasa imigresen yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), susulan penangguhan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) 2024 di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelaksanaan undang-undang Persekutuan yang boleh menghakis hak dan kuasa autonomi Sabah, terutama dalam aspek kawalan imigresen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tamparuli) mengenai sebab sebenar Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan AKPS 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.
Menurut Joniston, Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) merupakan undang-undang di bawah bidang kuasa Persekutuan.
“Kerajaan Negeri telah mengemukakan pendirian supaya pelaksanaan AKPS di Sabah tidak menghakis hak autonomi Kerajaan Negeri di bawah akta imigresen.
“Kerajaan Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen yang diperuntukkan kepada Sabah di bawah Artikel V Perjanjian Malaysia 1963 adalah hak yang tidak boleh dirunding (non-negotiable),” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan pembentukan Malaysia menerusi MA63 adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa imigresen Sabah dan Sarawak yang telah dipersetujui sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri bagi menyatakan pendirian agar Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus dikekalkan sebagai agensi yang mengawal semua pintu masuk ke Sabah.
Selain itu, katanya, kuasa mengeluarkan Not-To-Land (NTL) juga perlu kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa jaminan perlindungan kedudukan Sabah dari segi perlembagaan hendaklah sentiasa dipelihara bagi memastikan tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Madius sama ada Kerajaan Negeri telah memberikan persetujuan sebelum Rang Undang-Undang AKPS 2024 dibentangkan di Parlimen, Joniston menjelaskan bahawa pendirian Sabah kekal jelas dalam mempertahankan hak-hak negeri.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan kuasa autonomi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam MA63 dan memastikan pelaksanaan mana-mana dasar atau undang-undang Persekutuan tidak menjejaskan hak negeri.
Madius dalam soalan tambahannya turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan AKPS sehingga semua isu berkaitan hak autonomi negeri diselesaikan.



