KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit Kinabalu terus memperkukuh komitmennya terhadap budaya integriti dan tadbir urus cemerlang menerusi pelancaran Buletin Integriti Edisi Pertama 2026, sebagai platform rasmi bagi meningkatkan kesedaran warga kerja mengenai kepentingan integriti, ketelusan, akauntabiliti dan pencegahan rasuah.
Penerbitan buletin berkenaan menjadi satu lagi langkah strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu dalam memperkasa amalan governans, pematuhan dan tadbir urus yang baik, di samping berkongsi pelbagai inisiatif serta program yang dilaksanakan oleh Divisyen Integriti dan Governans Kumpulan Sawit Kinabalu.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa, berkata pembudayaan integriti perlu dijadikan teras kepada setiap tindakan dan keputusan organisasi bagi memastikan syarikat terus berkembang secara mampan serta mengekalkan kepercayaan rakyat dan semua pihak berkepentingan.
“Integriti bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, sebaliknya perlu diterapkan sebagai nilai dan budaya kerja dalam setiap peringkat organisasi bagi memastikan tadbir urus yang cekap, telus dan berakauntabiliti,” katanya.

Sebagai simbol komitmen tersebut, beliau menyerahkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai makluman mengenai usaha berterusan Kumpulan Sawit Kinabalu dalam memperkukuh integriti, tadbir urus dan ketelusan sebagai antara tonggak utama pengurusan syarikat.
Turut hadir pada sesi penyerahan itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, bersama wakil Divisyen Integriti dan Governans Kumpulan Sawit Kinabalu.
Dalam pertemuan tersebut, Hajiji menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap Kumpulan Sawit Kinabalu terus memperkasa pelaksanaan program integriti serta pencegahan rasuah bagi memastikan budaya kerja yang beretika dan berakauntabiliti terus diperkukuhkan.
Beliau turut berharap usaha yang dilaksanakan itu dapat dijadikan penanda aras oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di Sabah dalam memperkasakan budaya tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.
Pelancaran Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 membuktikan kesungguhan Kumpulan Sawit Kinabalu untuk menjadikan integriti bukan sekadar dasar organisasi, tetapi satu budaya kerja yang diamalkan secara menyeluruh dalam usaha memacu kecemerlangan, kelestarian dan daya saing syarikat pada masa hadapan.



