HomeSukanLiga Super : Empat pemain baharu perkuat Sabah FC

Liga Super : Empat pemain baharu perkuat Sabah FC

Read Time:2 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC mengumumkan empat pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 yang dijadual akan bermula Ogos ini.

Empat pemain itu adalah pemain tengah, Abdul Halim Saari dan Fadzrul Danel Mohd Nizam; Fayadh Zulkifli (penyerang); serta Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim (pertahanan).

Pengumuman pemain baharu ini diumumkan skuad Badak menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi Sabah FC di sini pada Selasa.

Mohd Fadzrul yang berusia 28 tahun sebelum ini bersama Imigresen FC menyertai Sabah FC pada musim ini mengikat kontraknya selama satu musim.

Beliau berkata, keputusan memilih skuad Badak itu hadir bersama satu tekad, keluar daripada zon selesa, mencari cabaran baharu dan terus berkembang sebagai seorang pemain.

Menurutnya, visi yang dibawa Sabah FC turut menjadi antara faktor yang meyakinkannya bahawa bumi di bawah bayu adalah destinasi tepat untuk meneruskan perjalanan kariernya.

“Saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu, terus berkembang sebagai pemain dan keluar daripada zon selesa.

“Saya percaya Sabah mempunyai visi yang selari dengan cita-cita saya dan saya ingin memberikan komitmen 100 peratus untuk membantu pasukan mencapai kejayaan,” katanya.

Bagi Abdul Halim,32, visi besar kelab dan semangat luar biasa penyokong Sang Badak menjadi antara faktor utama yang meyakinkan beliau untuk membawa perjuangannya ke bumi di bawah bayu.

Karier Halim menyaksikannya menembusi pasukan senior Kedah pada 2016 sebelum mencipta antara detik terbesar dalam perjalanan bola sepaknya apabila menjulang Piala Malaysia bersama Kedah.

Pengalamannya bukan hanya di pentas domestik malah turut pernah mendapat pendedahan bersama skuad Harimau Malaya dan merasai pengalaman berdepan Vietnam di pentas antarabangsa.

“Saya memilih Sabah kerana melihat kelab ini mempunyai visi yang jelas dan cita-cita besar. Sabah FC juga mempunyai penyokong yang sangat luar biasa dan saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang sentiasa berjuang untuk memberikan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Fayadh sebelum ini pernah membantu Kedah menjulang Piala FA 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 di pentas final.

Di pentas Asia, Fayadh turut mempunyai pengalaman beraksi dalam kempen kelayakan Liga Juara-Juara AFC di Korea Selatan pada 2020, selain mencipta kenangan tersendiri apabila menjaringkan gol dalam saingan peringkat AFC bersama Kedah pada 2022.

Pengalamannya turut merangkumi pentas antarabangsa apabila berpeluang bersama skuad kebangsaan pada 2021 di Jordan, pengalaman yang memberinya peluang berkongsi pentas bersama antara pemain terbaik negara ketika itu.

Potensi yang dimiliki Sabah FC serta kekuatan penyokongnya menjadi antara faktor utama yang meyakinkan Fayadh untuk memilih bumi di bawah bayu sebagai destinasi seterusnya dalam kariernya.

“Saya memilih Sabah FC kerana saya melihat pasukan ini mempunyai potensi yang sangat baik untuk saya terus berkembang sebagai pemain.

“Seperti yang kita tahu, Sabah FC juga mempunyai penyokong yang hebat dan sentiasa berada di belakang pasukan sepanjang perlawanan,” katanya.

Seorang lagi pemain Abdul Hanafie yang kembali menyarung jersi negeri kelahirannya menyertai Sabah FC selepas beraksi bersama Imigresen FC musim ini.

Anak kelahiran Sandakan itu mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan pertahanan kanan.

“Sabah FC bukanlah sebuah pasukan yang asing bagi saya. Malah, inilah tempat yang saya anggap sebagai rumah.

“Di sinilah saya membesar dan memulakan perjalanan sebagai seorang pemain bola sepak. Peluang untuk kembali menyarung jersi Sabah FC merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna buat saya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sepanyol juara Piala Dunia 2026, tewaskan Argentina 1-0

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular