HomeUtamaDUN Sabah : KKTP sedia bantu selesaikan pertikaian pemilikan unit rumah 1Borneo

DUN Sabah : KKTP sedia bantu selesaikan pertikaian pemilikan unit rumah 1Borneo

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sedia memberikan kerjasama serta bantuan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan isu pemilikan unit rumah di 1Borneo sekiranya pihak-pihak yang terlibat mencapai persetujuan atau memerlukan bantuan daripada agensi kerajaan yang berkaitan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Fairuz Renddan berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk memberikan kerjasama mengikut bidang kuasa masing-masing serta selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azhar Matussin (WARISAN-Darau) yang ingin mengetahui tindakan kementerian bagi menyelesaikan isu pemilikan unit rumah di 1Borneo yang berpunca daripada pertelingkahan antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pihak pemaju.

Fairuz berkata, pertikaian tersebut pada asasnya melibatkan hubungan kontraktual antara kedua-dua pihak dan menjadi tanggungjawab mereka untuk mencari penyelesaian melalui rundingan, mediasi atau saluran perundangan yang bersesuaian.

Katanya, kementerian memahami kebimbangan yang timbul berhubung isu berkenaan, namun sebarang tindakan perlu dibuat mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Walau bagaimanapun, sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan atau memerlukan bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing, kementerian sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa projek perumahan 1Borneo telah siap dibangunkan dan isu yang berbangkit tidak melibatkan projek perumahan terbengkalai.

Sehubungan itu, katanya, perkara tersebut tidak termasuk dalam keadaan yang membolehkan Pengawal Perumahan mengambil tindakan campur tangan di bawah peruntukan undang-undang bagi tujuan pemulihan projek perumahan terbengkalai.

RELATED ARTICLES
Utama

Kompleks Sukan Tongod dijangka siap dalam tempoh lapan bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular