HomeUtamaLelaki tempatan didenda RM25,000 curi elektrik

Lelaki tempatan didenda RM25,000 curi elektrik

Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didenda keseluruhan RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berhubung kes curi elektrik.

Tertuduh, Mahadi Santa, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.

Mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, denda RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar.

Bagi pertuduhan pertama, Mahadi didapati secara curang mengambil elektrik melalui pintasan secara terus daripada Busbar Isolator Switch Box tanpa melalui meter milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) ke dalam premis perniagaan pada 30 Julai 2025, jam 3 petang, di Alamesra Plaza Utama, Sulaman Coastal Highway, di sini.

Bekalan elektrik itu disalurkan melalui papan agihan ke tingkat atas untuk ruang pejabat serta bilik-bilik sewaan, selain ke papan agihan di tingkat bawah bagi membekalkan elektrik kepada beberapa mesin layan diri (vending machine), sehingga menyebabkan SE terkurang caj dan mengalami kerugian.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(ii) Enakmen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi  lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mahadi didapati memasang pendawaian elektrik pada pendawaian sedia ada di premis yang sama tanpa kelulusan bertulis daripada pemegang lesen, Sabah Electricity Sdn. Bhd.

Bagi kesalahan ini dia didakwa  di bawah Subseksyen 61(83) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan dihukum di bawah subseksyen yang sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50, 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Energy Commission of Sabah (ECOS) bersama pegawai SE menjalankan operasi penguatkuasaan di premis berkenaan pada 30 Julai 2025.

Pemeriksaan mendapati terdapat usikan pada pepasangan meter elektrik tiga fasa milik SE, antaranya ketiadaan sil meter serta pelekat keselamatan SE pada cut-out fuse bagi fasa merah, kuning dan biru serta pada terminal cover meter.

Pemeriksaan lanjut menemukan sambungan pendawaian pintasan (bypass) menggunakan kabel berwarna kuning yang disambungkan terus daripada busbar pada Isolator Switch Box sebelum meter elektrik SE.

Siasatan lanjut mendapati sambungan pendawaian pintasan itu dipasang tanpa kelulusan bertulis daripada pemegang lesen dan menyebabkan kerugian hasil kepada SE yang dianggarkan berjumlah RM59,701.79 bagi tempoh 8 Julai 2020 hingga 30 Julai 2025.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ECOS, Andryeno Thomas, manakala Mahadi diwakili peguam Amirul Amin.

RELATED ARTICLES
Utama

Dadah dirampas di Sabah dilupuskan di Negeri Sembilan – Jauteh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular