SANDAKAN: Qhazanah Healthcare Sdn. Bhd. (QHSB) mempergiat persediaan menjelang pelaksanaan tiga ujian saringan kesihatan baharu di bawah Program Pemeriksaan Kesihatan Pekerja Asing Sabah bermula pada 2027 menerusi sesi libat urus bersama majikan, agensi kerajaan dan pemain industri yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan saringan baharu berjalan lancar di samping menyelaraskan Sabah dengan piawaian nasional pemantauan kesihatan pekerja asing yang kini telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Pengerusi QHSB, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata pekerja asing di Sabah akan diwajibkan menjalani saringan tambahan bagi Methamphetamine, Hepatitis C dan Filariasis mulai 2027.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh penjagaan kesihatan pencegahan, meningkatkan pengesanan awal penyakit serta melindungi kesihatan awam, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pengenalan saringan Methamphetamine, Hepatitis C dan Filariasis pada 2027 mencerminkan komitmen bersama dalam melindungi kesihatan awam serta memastikan kesejahteraan tenaga kerja.
“Ketika Sabah terus menarik pelaburan dan peluang pekerjaan, sistem penjagaan kesihatan pencegahan yang kukuh perlu kekal menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus tersebut.
Beliau berkata, penglibatan awal bersama komuniti perniagaan amat penting bagi memastikan keperluan baharu itu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan operasi syarikat.
“Pelaksanaan yang lancar bergantung kepada kerjasama awal dan aktif. Dengan bekerjasama rapat bersama majikan serta agensi berkaitan dari sekarang, kita dapat membangunkan rangka kerja yang praktikal bagi meningkatkan keselamatan pekerjaan, melindungi komuniti setempat serta mewujudkan tenaga kerja yang lebih sihat dan berdaya tahan,” katanya.
Sesi libat urus sehari itu menghimpunkan kira-kira 130 majikan dan pihak berkepentingan industri.
Selain memberi penerangan mengenai pelaksanaan saringan baharu, program itu turut menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas industri, mengenal pasti isu pelaksanaan serta memperhalusi pelan peralihan yang praktikal dan berasaskan bukti sebelum pelaksanaan rasmi pada 2027.
Melalui peluasan skop pemeriksaan kesihatan pekerja asing itu, QHSB berharap dapat mempercepatkan intervensi perubatan, mengurangkan penularan penyakit berjangkit dan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat di seluruh Sabah.



