SANDAKAN: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik serta memperkasa pelaksanaan Inisiatif JOM MALAYSIA dalam meningkatkan penggunaan dan pembelian produk tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penubuhan jawatankuasa itu akan memperkukuh usaha memartabatkan produk buatan Malaysia di pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin kepada kejayaan gerakan JOM MALAYSIA.
Beliau berkata, JOM MALAYSIA merupakan transformasi kepada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilaksanakan sejak 1984.
“JOM MALAYSIA dilancarkan secara rasmi pada 27 Jun lalu di Pasar Seni, Kuala Lumpur sebagai satu gerakan nasional yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta menyemarakkan semangat rakyat untuk memilih dan menggunakan produk buatan Malaysia menerusi pendekatan whole-of-nation,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Festival JOM MALAYSIA Sandakan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan dari 24 hingga 26 Julai.
Festival itu menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik sebagai platform mempromosikan produk tempatan serta memperkukuh jaringan perniagaan.
Selain reruai jualan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), festival berkenaan turut menampilkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), pameran dasar kerajaan, aktiviti komuniti, hiburan keluarga dan sukan rakyat.
Dalam pada itu, Armizan berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan bagi menyelaras usaha memperkukuh penggunaan produk tempatan.
Katanya, jawatankuasa itu bertanggungjawab memperkemas penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan, meningkatkan promosi serta nilai jualan domestik dan eksport produk tempatan, selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import.
Jelas beliau, jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia.
Menurutnya, pelaksanaan JOM MALAYSIA akan diperkukuhkan melalui empat teras utama iaitu menjadikannya sebagai gerakan nasional berteraskan patriotisme ekonomi, menggerakkan pendekatan whole-of-nation, memperluaskan skop produk tempatan termasuk sektor perkhidmatan serta mempromosikan produk tempatan ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata langkah itu diyakini mampu mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif bagi memastikan produk tempatan menjadi pilihan utama pengguna, sekali gus meningkatkan daya saingnya di peringkat tempatan dan global.



