HomeUtamaEkspedisi Gunung Kinabalu terus jadi platform antarabangsa tingkat kesedaran Duchenne

Ekspedisi Gunung Kinabalu terus jadi platform antarabangsa tingkat kesedaran Duchenne

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Ekspedisi Tahunan Gunung Kinabalu terus menjadi platform antarabangsa bagi memperkukuh gerakan kesedaran terhadap Duchenne muscular dystrophy (DMD) apabila memasuki edisi ke-14 tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata sejak diperkenalkan 14 tahun lalu, ekspedisi itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara dan latar belakang dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai DMD, di samping membawa harapan kepada keluarga yang terkesan akibat penyakit berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran ekspedisi itu membuktikan pelancongan bukan sekadar mempromosikan destinasi, sebaliknya mampu menghubungkan masyarakat, membina persefahaman dan mencetuskan perubahan positif.

“Kita berbangga kerana Sabah terus menjadi lokasi kepada gerakan global yang luar biasa ini. Sungguh menginspirasikan apabila peserta dari seluruh dunia disatukan oleh satu matlamat yang sama.

“Ekspedisi ini mengingatkan kita bahawa pelancongan bukan sekadar mengunjungi destinasi yang indah, tetapi juga menghubungkan manusia, membina persefahaman dan mewujudkan perubahan positif dalam komuniti,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffrey Jimit, pada majlis sambutan Ekspedisi Tahunan Gunung Kinabalu Ke-14 2026 di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort & Spa, di sini, hari ini.

Jafry berkata, program seperti ekspedisi itu bukan sahaja mengetengahkan keindahan alam semula jadi Sabah, malah mencerminkan komitmen Sabah terhadap pelancongan bertanggungjawab yang menggabungkan pemuliharaan, kesejahteraan komuniti dan pengalaman bermakna secara seiring.

Tambahnya, sepanjang penganjurannya, ekspedisi itu turut membantu meningkatkan kesedaran mengenai DMD dalam kalangan keluarga, petugas kesihatan, pendidik dan pembuat dasar.

Menurutnya, Coalition Duchenne akan menganjurkan Bengkel Keluarga Duchenne tahunan kedua di Malaysia minggu depan yang menghimpunkan keluarga, penjaga, profesional perubatan dan kumpulan advokasi dari seluruh Sabah.

“Inisiatif seperti ini mengukuhkan rangkaian sokongan, menggalakkan perkongsian ilmu serta menyumbang kepada penjagaan yang lebih baik, keterangkuman yang lebih luas dan peluang rawatan yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Jafry turut merakamkan penghargaan kepada pengasas Coalition Duchenne, Catherine Jayasuriya, yang disifatkannya berjaya mengubah perjalanan hidup peribadinya menjadi satu gerakan global bagi meningkatkan kesedaran mengenai Duchenne muscular dystrophy.

Beliau berkata, walaupun kini menetap di California, Amerika Syarikat, Catherine yang berasal daripada keluarga Kadazandusun di Penampang masih mempunyai hubungan yang erat dengan Sabah dan kembali setiap tahun untuk menjayakan inisiatif berkenaan.

“Apa yang bermula sebagai satu misi yang amat peribadi kini berkembang menjadi satu gerakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan terus menyatukan masyarakat dari seluruh dunia.

“Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi, ramai keluarga memperoleh harapan, sokongan dan keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bomba selamatkan 12 mangsa banjir di SK Kuala Apas, Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular