HomeUtamaKerajaan Sabah tingkat kesedaran serta latihan halal kepada usahawan

Kerajaan Sabah tingkat kesedaran serta latihan halal kepada usahawan

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuhkan program kesedaran dan latihan berkaitan halal kepada para usahawan sebagai usaha meningkatkan pemahaman serta menggalakkan lebih banyak syarikat memperoleh pensijilan halal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan pengusaha, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), lebih bersedia memenuhi keperluan pensijilan halal sekali gus meningkatkan daya saing produk mereka di pasaran.

Beliau berkata, Majlis Halal Sabah telah melaksanakan pelbagai program termasuk kursus pendedahan dan kempen kesedaran berkaitan halal selain membimbing pengusaha mendapatkan pensijilan halal yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kesedaran mengenai halal perlu diteruskan dan diperkasakan melalui latihan serta bimbingan berterusan kepada para pengusaha. Kita mahu lebih ramai usahawan memahami kepentingan pensijilan halal serta proses yang perlu dilalui,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Arifin yang juga Exco Agama berkata, kerajaan juga mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa mendapatkan pensijilan halal adalah rumit dan melibatkan kos yang tinggi.

“Kita ingin memberi isyarat kepada masyarakat, khususnya para pengusaha dan pengguna, bahawa memohon pensijilan halal bukanlah sesuatu yang sukar dan tidak mahal. Apa yang penting ialah mereka mendapatkan bimbingan yang betul,” katanya.

Arifin berkata, kerajaan negeri akan terus memperluaskan program latihan bagi membantu usahawan memenuhi syarat pensijilan serta memastikan produk yang dihasilkan mematuhi standard halal yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa perhatian khusus akan diberikan kepada usahawan perusahaan kecil atau cottage industry supaya mereka tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pensijilan halal.

Katanya, melalui latihan dan bimbingan yang berterusan, kerajaan berharap lebih banyak produk keluaran Sabah berjaya memperoleh pensijilan halal sekali gus membuka peluang menembusi pasaran yang lebih luas di dalam dan luar negara.

Pada masa sama, beliau berkata, Majlis Halal Sabah akan terus bekerjasama dengan MUIS, JAKIM dan agensi berkaitan bagi memastikan segala inisiatif pembangunan industri halal di negeri ini dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Pahlawan Sabah julung kali diadakan di Masjid Negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular