HomeUtama12 Individu Ditahan Termasuk Pegawai JIM Ditahan Dalam Ops Crack SPRM-JIM

12 Individu Ditahan Termasuk Pegawai JIM Ditahan Dalam Ops Crack SPRM-JIM

Read Time:1 Minute, 10 Second

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 12 individu menerusi operasi bersepadu bagi menumpaskan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Kegiatan itu dipercayai membabitkan permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato’ Sri Abd Halim Aman berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM dan seorang pegawai polis.

Beliau berkata semua suspek yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an ditahan antara 2 hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM serta JIM Pulau Pinang.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi bagi pas yang dikeluarkan.

“Sebanyak 1,306 PLKS dipercayai dikeluarkan secara tidak sah sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan RM2.4 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Halim berkata operasi berkenaan merupakan hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dengan Bahagian Perisikan JIM sejak Mei lepas di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Beliau berkata operasi itu turut mendapat kerjasama CyberSecurity Malaysia, Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi SPRM.

Menurutnya, penggeledahan turut dilakukan di beberapa premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS, PETRONAS terajui penyelidikan prospektiviti hidrokarbon Lembangan Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular