Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Sabah FC menerima tajaan RM4 juta daripada Emas Sri Semantan Sdn. Bhd bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2026/27 yang dijadual akan bermula bulan depan.
Penajaan itu dimeterai dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Rabu.
Pemeteraian itu merupakan satu lagi kerjasama strategik antara Sabah FC dan sektor korporat dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negeri serta memperluaskan jaringan penajaan kelab.

Pengarah Sabah FC, Datuk Alijus Sipil berkata, sumbangan daripada sektor korporat memberi suntikan semangat kepada pengurusan dan pasukan dalam membuat persiapan terbaik menjelang musim baharu yang dijadual bermula pada Ogos ini.
Beliau berkata, penyertaan Emas Sri Semantan sebagai rakan strategik bukan sahaja memberi suntikan dana kepada kelab, malah membantu memperkukuhkan imej serta jangkauan Sabah FC.
“Kita akan menggunakan penajaan ini sebaik mungkin untuk program latihan pemain dan persiapan menghadapi musim 2026/2027. Sasaran kita adalah memperbaiki pencapaian musim lalu dan membawa Sabah FC mencapai keputusan yang lebih baik
“Walaupun Sabah FC menamatkan saingan Liga Super musim lalu di kedudukan yang kurang memuaskan, pasukan berjaya mencipta dua pencapaian penting apabila mara ke pentas akhir Piala FA sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) serta muncul juara Piala Cabaran,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut menjadi motivasi kepada pasukan untuk tampil lebih kompetitif musim ini, dengan persiapan kini berada di peringkat akhir sebelum senarai penuh pemain diumumkan secara berperingkat menerusi saluran rasmi kelab.
Alijus turut mengalu-alukan lebih banyak penyertaan syarikat korporat untuk bersama-sama membangunkan Sabah FC, sambil memaklumkan masih terdapat beberapa peluang penajaan yang terbuka untuk dibincangkan.
Sabah FC akan memulakan saingan Liga Super bertemu Star City FC pada perlawanan pertama di Stadium Likas pada 23 Ogos depan. – SABAH MEDIA



