HomeUtamaWarga Indonesia di Sabah diseru patuhi undang-undang, hormati adat tempatan

Warga Indonesia di Sabah diseru patuhi undang-undang, hormati adat tempatan

Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Warga Indonesia di Sabah digesa supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta menghormati adat istiadat tempatan bagi memastikan keselamatan dan keharmonian bersama terus terpelihara.

Konsul Republik Indonesia Tawau, Dino Nurwahyudin berkata, pihaknya sentiasa memberikan pemahaman kepada rakyat Indonesia yang berada di Sabah supaya menghormati peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, peranan utama Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau adalah memberikan perkhidmatan serta perlindungan kepada warganegara Indonesia, selain memastikan mereka memahami tanggungjawab sebagai penduduk yang tinggal dan bekerja di Sabah.

“Memang itulah fungsi utama kami, Konsulat Republik Indonesia di Tawau, untuk memberi perkhidmatan dan perlindungan kepada warganegara Indonesia.

“Pada masa sama, kami sentiasa mengingatkan warga Indonesia supaya mematuhi undang-undang dan menghormati adat istiadat tempatan,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini.

Dino berkata, pihaknya turut menghargai kerjasama Kerajaan Sabah yang memberi peluang kepada anak-anak pekerja Indonesia mendapatkan pendidikan menerusi Community Learning Center (CLC).

Beliau berkata, penubuhan CLC hasil kerjasama Kerajaan Sabah dan Pemerintah Indonesia sejak 2011 bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak pekerja, malah membantu meningkatkan produktiviti pekerja Indonesia di negeri ini.

“Ini juga memberi manfaat kepada syarikat kerana dengan adanya CLC, para pekerja menjadi lebih produktif kerana kebajikan pendidikan anak-anak mereka turut diberi perhatian,” katanya.

Menurutnya, tiga syarikat yang menyediakan kemudahan CLC di Sabah ialah Sabah Softwoods Berhad, Benta Wawasan Sdn Bhd dan Sawit Kinabalu.

Dino berkata, kunjungan hormat itu juga bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai pelantikannya sebagai Konsul Republik Indonesia Tawau yang baharu berkuat kuasa 9 Julai lalu bagi menggantikan Aris Heru Utomo yang telah bersara.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah menerusi Program Smart Sabah yang membantu pekerja asing dan ahli keluarga mereka yang belum mempunyai dokumen lengkap untuk mendapatkan dokumentasi berkaitan.

Katanya, inisiatif tersebut penting bagi memastikan pekerja asing dapat bekerja secara sah di negeri ini selain membantu majikan menguruskan keperluan dokumentasi pekerja mereka.

“Majikan atau syarikat boleh mengemukakan permohonan bagi membolehkan pekerja terbabit mendapatkan dokumen yang diperlukan.

“Mereka perlu memiliki pasport yang dikeluarkan oleh Kerajaan Indonesia. Selepas pasport diperoleh dan semua syarat ditetapkan dipenuhi, urusan permit tinggal serta permit kerja akan diproses melalui Program Smart Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Dino memaklumkan seramai 120,000 warga Indonesia kini berdaftar dalam pangkalan data Konsulat Republik Indonesia di Tawau.

Bagaimanapun, katanya jumlah sebenar warga Indonesia di Sabah dipercayai lebih tinggi berikutan faktor kedudukan sempadan serta kewujudan komuniti Indonesia yang besar khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah seperti Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kalabakan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sabah dalam memastikan kebajikan, perlindungan serta hubungan baik antara rakyat Indonesia dan masyarakat tempatan terus dipelihara.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemuda GRS komited perjuangkan agenda dan aspirasi anak muda Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular