BEAUFORT: Tindakan dua lelaki yang dipercayai leka menyabit dan memunggah buah kelapa sawit berakhir dengan penahanan selepas mereka diserbu polis di sebuah kebun sawit di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian buah kelapa sawit yang dilaporkan oleh pemilik kebun.
Menurutnya, kejadian disedari apabila pemilik kebun melakukan pemeriksaan berkala di lokasi sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang menyabit dan memunggah buah kelapa sawit miliknya.
“Anggaran kerugian melibatkan kira-kira 20 tandan buah kelapa sawit bernilai sekitar RM300. Sebuah motosikal yang dipercayai milik suspek turut ditemui di lokasi kejadian.
“Pemilik kemudiannya menghubungi pihak polis yang segera menjalankan serbuan ke kawasan kebun berkenaan.
“Kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun tindakan pantas anggota berjaya menahan mereka di lokasi kejadian. Suspek yang ditahan masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Champin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu memastikan daerah Beaufort terus kekal aman dan selamat.



