HomeUtama2,182 pelajar terima tajaan baharu dan sedia ada BKNS tahun ini

2,182 pelajar terima tajaan baharu dan sedia ada BKNS tahun ini

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Seramai 2,182 pelajar akan menerima tajaan baharu dan sedia ada menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi tahun 2026 menerusi peruntukan lebih RM100 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi memperkukuh pembangunan modal insan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tajaan itu membabitkan pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata, kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan sebagai pelaburan strategik untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa depan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan penerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

Menurut beliau, selain BKNS, kerajaan negeri turut menawarkan beberapa skim biasiswa utama termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.

Katanya, usaha berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai pelajar berpotensi, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar, tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan lain bagi meringankan beban pelajar dan keluarga yang berdepan peningkatan kos pengajian.

Beliau berkata, pencapaian pendidikan Sabah juga menunjukkan perkembangan positif apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus kali pertama Sabah merekodkan GPN di bawah paras 5.00.

Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan dengan terus mengekalkan kecemerlangan akademik serta menceburi bidang strategik seperti STEM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), minyak dan gas serta tenaga bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

YTL Foundation Sasar Bentuk 250 Pemimpin Berteraskan Nilai Dalam Tempoh 10...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular