Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Seramai 30 anak Sabah bakal mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang penjagaan kesihatan menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College bagi memperkukuh penyediaan tenaga kerja mahir sektor kesihatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu melibatkan pengajian dalam Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kumpulan Yayasan Sabah, IJN dan IJN University College pada April lalu.
“Program ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri komited memperluaskan akses pendidikan dalam bidang strategik bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sabah.
Katanya, usaha itu turut melengkapkan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Sabah bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada anak negeri memperoleh latihan berkualiti.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 15 anak Sabah kini sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation (UCSF).
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja meningkatkan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti, malah menjadi platform melahirkan tenaga kerja profesional tempatan bagi memenuhi permintaan sektor kesihatan yang semakin berkembang.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan yang memenuhi keperluan industri serta menyokong pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan. – SABAH MEDIA



