KUALA LUMPUR,– YTL Foundation menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 250 pemimpin berteraskan nilai dalam tempoh sedekad menerusi program Ilmu Fellowship, dengan harapan mereka akan menerajui institusi penting negara dan memacu budaya kepimpinan berasaskan integriti, kepercayaan serta kerjasama rentas sektor.
Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew, berkata program itu bukan bertujuan menghasilkan perubahan segera, sebaliknya membina satu ekosistem kepimpinan jangka panjang yang mampu memberi impak berterusan kepada negara.
“Jika kita mengambil 25 peserta setiap tahun, dalam tempoh 10 tahun kita akan mempunyai kira-kira 250 pemimpin yang mungkin ketika itu sudah menjadi ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah atau ketua pegawai eksekutif syarikat besar.
“Jika mereka saling menyokong dan kekal berpegang kepada agenda pembinaan negara, saya percaya kehadiran beberapa individu di kedudukan strategik sudah cukup untuk membawa perubahan besar kepada Malaysia,” katanya Ketika ditemui selepas pelancaran program Ilmu Fellowship di Hotel The Stripes, di sini hari ni.

Beliau berkata, dunia kini berdepan cabaran baharu apabila masyarakat semakin berpecah, tahap kepercayaan semakin merosot dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta media sosial menjadikan landskap kepimpinan lebih kompleks.
Menurutnya, keadaan itu menuntut lahirnya pemimpin yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah mempunyai ketahanan dalaman, empati dan tujuan kepimpinan yang jelas.
Katanya, berbeza dengan kebanyakan program kepimpinan lain yang lebih menumpukan kepada kemahiran teknikal dan pengurusan, Ilmu Fellowship memberi penekanan kepada pembentukan karakter, nilai dan tujuan hidup seseorang pemimpin.
“Program ini mengajak peserta mengenali diri sendiri, membina kapasiti dalaman serta memahami mengapa mereka memilih untuk memimpin.
“Kami mahu mereka kekal berpegang kepada agenda pembinaan negara walaupun berdepan cabaran atau tekanan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata antara komponen utama program ialah Good Society Readings, iaitu sesi pembacaan dan perbincangan mengenai karya-karya pemikir sejak ribuan tahun lalu bagi membantu peserta memahami konsep masyarakat yang baik, sekali gus membina empati serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Mengulas kerjasama dengan beberapa institusi antarabangsa dan tempatan, Kathleen berkata setiap rakan strategik dipilih berdasarkan kepakaran masing-masing dalam pembangunan kepimpinan.
Katanya, Acumen akan mengendalikan modul Good Society Readings, manakala Komando, yang diasaskan oleh Tan Sri Idris Jala, akan menyampaikan latihan berkaitan kepimpinan adaptif.
Sementara itu, Blavatnik School of Government, University of Oxford akan menyediakan modul kerjasama rentas sektor yang memberi perspektif global kepada peserta, manakala jurulatih kepimpinan Alvin akan membimbing peserta sepanjang tempoh 10 bulan program.
Menurut beliau, idea memperkenalkan Ilmu Fellowship lahir daripada pengalaman YTL Foundation mengendalikan Acumen Fellowship selama enam tahun.
Katanya, program terdahulu berjaya membangunkan usahawan sosial, namun pihaknya mendapati masih wujud jurang antara sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang perlu dirapatkan.
“Kami mahu pemimpin daripada sektor yang berbeza duduk semeja, memahami cabaran masing-masing dan melihat diri mereka sebagai rakan kerjasama, bukannya pihak yang saling mencurigai.
“Apabila sektor swasta dan sektor awam memahami perspektif masing-masing, perbincangan akan menjadi lebih mendalam dan penyelesaian yang lebih baik dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata persediaan membangunkan Ilmu Fellowship bermula kira-kira setahun lalu, termasuk mengenal pasti rakan strategik dan membangunkan kurikulum khas bersama University of Oxford.
Menurutnya, universiti berkenaan dipilih kerana mempunyai kepakaran dalam program kepimpinan dan kerjasama rentas sektor, selain membangunkan modul yang disesuaikan khusus mengikut keperluan Malaysia.
Katanya, walaupun Oxford menjadi rakan akademik utama ketika ini, YTL Foundation tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan institusi lain pada masa hadapan bagi memperkukuh lagi program tersebut.
Beliau menegaskan lembaga pemegang amanah YTL Foundation komited menjadikan Ilmu Fellowship sebagai inisiatif jangka panjang yang akan terus diperkasakan bagi melahirkan pemimpin masa depan yang berintegriti serta mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat dan memacu pembangunan negara.



