HomeUtamaJuruterbang Ditahan Disyaki Seludup 25kg Dadah Ke Indonesia

Juruterbang Ditahan Disyaki Seludup 25kg Dadah Ke Indonesia

Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR, – Seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di pintu masuk Terminal 3 lapangan terbang berkenaan pada Selasa lalu selepas pegawai kastam mengesan objek mencurigakan menerusi pemeriksaan mesin pengimbas bagasinya.

Menurut laporan media Indonesia yang memetik Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik Polis Republik Indonesia (POLRI), Brigedier Jeneral Eko Hadi Sontoso, pemeriksaan lanjut menemui 15 bungkusan besar yang mengandungi 70,114 kapsul dipercayai dadah jenis ekstasi dan methamphetamine.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 bagi membawa bekalan dadah itu dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

Pihak berkuasa Indonesia percaya dadah berkenaan dihantar oleh individu di Malaysia sebelum dijadualkan diserahkan kepada seorang lagi individu di sebuah hotel penginapan suspek di Jakarta.

Menurut Eko Hadi, siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam rangkaian penyeludupan itu, termasuk mengesan suspek lain di Malaysia serta rangkaian mereka di Indonesia.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Hasil siasatan juga mendapati suspek didakwa positif dadah dan mengaku pernah melakukan kegiatan penyeludupan sebelum ini.

Berdasarkan pengakuannya, suspek mendakwa pernah membawa bekalan dadah ke Sabah, manakala kali kedua dipercayai menyeludup kira-kira tujuh kilogram methamphetamine ke Jakarta.

Suspek kini ditahan di Pusat Tahanan POLRI dan disiasat mengikut undang-undang Indonesia berkaitan kesalahan membawa, mengimport serta mengedar dadah dalam kuantiti yang besar.

Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat.

RELATED ARTICLES
Utama

Sewakan akaun bank, remaja didenda RM10,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular