Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah yakin pembayaran geran khas berjumlah RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini akan dapat disalurkan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, kerajaan Negeri dan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pada hari Isnin bagi membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sukacita saya maklumkan bahawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sedang giat berunding untuk memastikan peruntukan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat dibayar pada tahun ini.
“Kami percaya pembayaran itu akan dibuat pada tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 di Menara Kinabalu di sini pada Sabtu.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status geran khas berkenaan dan perkembangan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau yakin isu berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri itu akan turut dibincangkan.
“Kita ada mesyuarat pada 3 Ogos ini di bawah MA63 dan saya yakin isu mengenai pembayaran 40 peratus itu akan disentuh,” katanya.
Minggu lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimaklumkan bahawa Sabah telah menerima RM600 juta daripada keseluruhan RM1.5 bilion geran khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal menjadi antara agenda utama dalam rundingan MA63 antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Pada April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan semula hak Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan sementara rayuan didengar.
Sebelum itu, pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal memenuhi hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021. – SABAH MEDIA



