Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kejayaan atlet angkat berat Sabah, Irene Jane Henry yang meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow menjadi detik bersejarah apabila berjaya menamatkan kemarau 16 tahun atlit Sabah di temasya itu.
Irene yang bertanding dalam kategori 48 kilogram (kg) mencipta sejarah apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa, sekali gus mengembalikan kegemilangan negara dalam acara angkat berat wanita di pentas Komanwel.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian anak kelahiran Tambunan itu bukan sahaja membanggakan kerajaan negeri, malah seluruh rakyat Sabah kerana berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.
“Adik Irene Jane Henry telah mencipta kejayaan di Sukan Komanwel di Scotland dengan berjaya mendapat pingat gangsa dalam kategori 48kg angkat berat dan telah mengakhiri kemarau pingat di kalangan wanita dalam sukan angkat berat Komanwel selepas 16 tahun.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam bidang sukan, tetapi juga seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan Irene di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Isnin.
Nizam berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa atlet Sabah memiliki kemampuan untuk bersaing dengan atlet terbaik dunia sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan sokongan yang berterusan.
Beliau berkata, pencapaian Irene juga merupakan hasil gabungan usaha gigih atlet itu sendiri, selain sokongan padu daripada keluarga, jurulatih, Majlis Sukan Negeri Sabah serta Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.
Katanya, sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan seseorang atlet dan tidak seharusnya tanggungjawab melahirkan juara diserahkan sepenuhnya kepada atlet atau agensi sukan semata-mata.
Beliau berharap lebih ramai ibu bapa di Sabah akan memberi galakan kepada anak-anak untuk menceburi bidang sukan agar negeri ini terus melahirkan atlet bertaraf dunia pada masa hadapan.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Irene dan keluarganya atas kejayaan yang disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan serta mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang sukan tanpa mengabaikan pendidikan.
Dalam pada itu, Nizam berkata insentif tunai RM10,000 dari Kerajaan Negeri akan diberikan kepada Irene sebagai menghargai kejayaannya meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel di Scotland.
Beliau berkata, pemberian itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian Irene yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas sukan antarabangsa.
Katanya, selain insentif daripada Kerajaan Sabah, Irene turut menerima ganjaran RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) hasil kejayaannya memenangi pingat gangsa.
“Sudah semestinya atlet-atlet yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat emas, perak dan gangsa akan menerima insentif daripada Kerajaan Sabah.
“Difahamkan adik Irene akan mendapat insentif RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara. Kerajaan Sabah pula akan menambah RM10,000 secara tunai, menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diterima beliau sebanyak RM30,000,” katanya.
Menurut beliau, pemberian insentif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam menghargai jasa atlet yang berjaya mengangkat nama negeri dan negara di persada antarabangsa. – SABAH MEDIA



