HomeUtamaHajiji terima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia

Hajiji terima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia

Read Time:1 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ajay Sharma, di pejabatnya di Menara Kinabalu.

Kunjungan itu merupakan pertemuan pertama antara Hajiji dan Ajay Sharma sejak beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia pada April tahun lalu, selain bertujuan memperkenalkan diri secara rasmi kepada Ketua Menteri.

Dalam pertemuan tersebut, Hajiji mengalu-alukan kehadiran Sharma ke Sabah dan menyatakan harapan agar hubungan baik serta kerjasama yang telah terjalin antara Sabah dan United Kingdom dapat terus diperkukuh dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menjalin hubungan erat dengan rakan antarabangsa dalam usaha memperluaskan peluang kerjasama, khususnya dalam sektor ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan mampan.

Ajay Sharma dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia pada April 2025. Beliau mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan diplomatik Britain, termasuk pernah berkhidmat sebagai Duta Britain ke Qatar serta memegang beberapa jawatan kanan di Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan United Kingdom.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa perdaya mangsa serah iPhone

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular