TENOM: Pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan amat penting bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, menikmati kemudahan asas yang lebih baik.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata kemudahan infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat, malah menjadi asas penting kepada pembangunan kawasan berkenaan.
Katanya, pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara terancang dan mengambil kira keperluan semasa serta jangka panjang bagi memastikan kemudahan yang disediakan mampu memberi manfaat secara berterusan.
“Pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan amat penting bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke daerah Tenom dan Keningau bagi meninjau perkembangan beberapa projek infrastruktur penting, termasuk sektor tenaga dan jalan raya, di sini baru-baru ini.

Menurut Joachim, aspek pemantauan juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan serta memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Katanya, pemantauan berterusan membolehkan sebarang isu atau kekangan yang timbul sepanjang pelaksanaan projek dikenal pasti lebih awal dan ditangani dengan sewajarnya.
“Pemantauan berterusan terhadap projek-projek pembangunan penting supaya sebarang isu atau kekangan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Dalam lawatan itu, Joachim turut meninjau perkembangan projek tenaga hidro Upper Padas di Kemabong, Tenom, termasuk kawasan Access Tunnel, selepas menghadiri sesi taklimat oleh Upper Padas Power Sdn. Bhd.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Keningau bagi meninjau Projek Menggantikan Pembetung kepada Jambatan Kekal di Kilometer 133.95, Jalan Kota Kinabalu–Keningau.
Joachim berkata, pembangunan sektor tenaga dan jaringan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah turut menyokong pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan terlibat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pelaksanaan projek infrastruktur perlu terus diberi perhatian bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh, termasuk oleh masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.



