SEMPORNA : Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan empat lelaki warga Filipina yang menyeludup keluat 3,500 liter petrol dan tong gas di perairan Pulau Siamil disini kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.25 malam itu, tiga buah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan dikesan oleh Radar CSS (Coastal Surveillance Station) di Pulau Danawan yang bergerak laju dari arah Pulau Siamil menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia berhampiran Pulau Sitangkai Filipina.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, berdasarkan maklumat tersebut, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah menugaskan Viper 04 bersama Tim QRF yang berada di kawasan Op Pasir Selatan melaksanakan pintasan.
“Pasukan kita telah berjaya membuat pintasan dan menahan duya buah bot laju tersebut. Walau bagaimanapun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan.
“Kedua-dua bot kemudian ditahan dan ditunda ke Jeti Pulau Siamil untuk pemeriksaan terperinci disebabkan keadaan laut yang bergelora,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Abdul Karim berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan terdiri daripada empat orang awak-awak lelaki, warganegara Filipina berusia antara 19 hingga 50 tahun, serta tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati sebanyak 100 tong minyak berkapasiti 35 liter/tong yang berisi minyak petrol berjumlah 3,500 liter berada di dalam setiap bot dan empat tong gas berkapasiti 16 kg/tong.
“Hasil keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 61,776.00. Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, kedua-dua buah bot laju itu ditunda ke Jeti Kem Azumi dan kesemua awak-awak bot tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis pada jam 5.30 pagi.
“Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan hasil keputusan kesemua awak-awak bot adalah negatif.
“Mereka seterusnya diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut oleh PDRM. Kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM, ESSCOM, PDRM, dan KKM berada ditahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, radar CSS Pulau Danawan dan Tim QRF atas kejayaan tersebut.
Beliau turut mengingatkan warga MK ATB 2 untuk kekal menjadi angkatan yang kredibel dan menerapkan kesiapsiagaan operasi tertinggi melalui “Precision Info, Precision Targeting and Precision Manouver”.
“Kejayaan kali ini membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan memastikan POWB mampu mengesan mana-mana ancaman yang memasuki sempadan Perairan Pantai Timur Sabah dapat diawasi dengan lebih ketat dan sentiasa berada ditahap tertinggi.
“Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi,” katanya
Katanya, melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah naungan ATB 2 secara berterusan, pihaknya menjamin keselamatan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap terbaik.
“Anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani sebarang cabaran serta ancaman keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya.