KOTA KINABALU : Enam kawasan utama di Sabah hari ini mencatat kualiti udara pada tahap sederhana setakat jam 3 petang tadi.
Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, kawasan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sabah iaitu pada bacaan 85.
Bacaan itu meningkat secara berperingkat daripada 77 pada jam 5 pagi pada Sabtu.
Ini diikuti oleh daerah Kota Kinabalu yang mencatatkan bacaan IPU 76 pada jam 3 petang, menunjukkan peningkatan berterusan berbanding bacaan 68 pada awal pagi.
Sementara itu, lokasi lain seperti Kimanis dan Keningau kedua-duanya mencatatkan bacaan IPU 71.
Sandakan berada pada bacaan 52, manakala Tawau mencatatkan IPU paling rendah iaitu 57.
Orang ramai terutamanya golongan kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal luar sekiranya mengalami sebarang gejala.



