PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut hak pemberian 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G) dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hak 40 peratus merupakan hak terbesar Sabah dalam MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan G to G dengan Kerajaan Persekutuan kerana hak 40 peratus merupakan hak terbesar kita dalam MA63, juga seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, malam ini.
Hajiji berkata, pendirian Kerajaan Negeri itu akan terus dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang pada 3 Ogos lalu di Putrajaya dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick sebagai antara delegasi Kerajaan Negeri.
Katanya, sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, termasuk kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.
Mengenai tuntutan 40 peratus itu, beliau berkata walaupun ia belum dilaksanakan sepenuhnya termasuk satu rayuan berkaitan oleh Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan, Kerajaan Sabah menerima pelaksanaan secara interim yang dahulunya hanya RM26 juta tetapi kini ditambah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.
“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri meningkatkan jumlah bayaran interim ini dan kita akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap di Sabah, membina jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda-agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Pendek kata, apa yang kita perolehi daripada Kerajaan Persekutuan, akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri terus memberi fokus besar kepada prestasi kewangan dan peningkatan jumlah kutipan hasil, dengan jumlah kutipan berjaya dikekalkan mencecah RM7 bilion setiap tahun sejak 2022 dan dijangka meningkat sehingga RM8 bilion tahun ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan daya tahan ekonomi walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran domestik dan global, sekali gus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang strategik.
“Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan, iaitu hampir 208 peratus berbanding pada tahun 2024,” katanya.
Hajiji berkata, kesemua usaha Kerajaan itu bertujuan membina kemakmuran ekonomi rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah serta limpahan aktiviti ekonomi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan adanya pelaburan berimpak tinggi di Sabah.
Beliau berkata, melalui kerjasama strategik dengan PETRONAS di bawah Commercial Collaborative Agreement (CCA), Kerajaan Negeri juga berjaya meningkatkan pegangan ekuiti dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah, di samping membuka ruang penyertaan lebih banyak syarikat tempatan Sabah dalam pembangunan industri berkenaan.
“Untuk makluman, kita sedang memuktamadkan untuk memperoleh 40 peratus ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) di Sabah, di samping 30 peratus lagi pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas yang baharu di Pantai Timur. Insya- Allah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam waktu terdekat,” katanya.
Kerajaan Negeri juga akan membangunkan taman-taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud dan Hab Ekonomi Biru di Kudat bagi melonjakkan lagi kadar pelaburan di negeri ini, sekali gus meningkatkan aktiviti rantaian ekonomi domestik.



