Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh usaha membantu mahasiswa yang memerlukan menerusi penyaluran geran Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif itu merupakan antara usaha menangani cabaran kos sara hidup menerusi pendekatan kerjasama menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak.
Penyerahan geran itu berlangsung pada Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 anjuran Pusat Alumni UMS di sebuah hotel di sini, hari ini, yang menghimpunkan lebih 400 alumni universiti berkenaan.
Armizan berkata, Bahagian Kos Sara Hidup KPDN bertindak sebagai urus setia i-FB dengan menyasarkan penglibatan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Katanya, pelaksanaan i-FB berteraskan pendekatan 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Menerusi inisiatif itu, GPS akan menyelaraskan pelaksanaan i-FB di institusi pendidikan masing-masing dan komuniti setempat, termasuk mengurus penerimaan, penyimpanan serta pengagihan sumbangan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.
Geran awal yang disalurkan akan digunakan untuk menyediakan peralatan dan ruang khusus i-FB di kampus bagi memudahkan pengurusan sumbangan makanan secara lebih teratur.
Inisiatif itu turut membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk menyumbang dalam usaha membantu mahasiswa menghadapi tekanan kos sara hidup.
Dalam majlis sama, Armizan berkata, program berkenaan turut menjadi platform untuk mempererat silaturahim dan memperluas jaringan alumni, selain memupuk keprihatinan serta tanggungjawab sosial dalam menyokong pembangunan institusi pendidikan.
Aspirasi itu diterjemahkan menerusi pelancaran Tabung Endowmen Kinabalu yang menyasarkan kutipan awal RM1.5 juta bagi mewujudkan sumber kewangan mampan untuk menyokong kebajikan dan pembiayaan pengajian pelajar UMS yang cemerlang dalam akademik tetapi memerlukan bantuan kewangan, khususnya daripada golongan B40.
Tabung berkenaan membuka ruang sumbangan daripada alumni, pihak korporat dan masyarakat, manakala pengurusan serta kawal selianya dikendalikan oleh Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW) UMS.
Maklumat lanjut mengenai tabung itu boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Pusat Alumni UMS di https://www.ums.edu.my/alumni atau Facebook @PAUMS.Offcial.



