HomeUtamaPelihara keamanan, tolak kebencian dan kekalkan ingatan sejarah – Hajiji

Pelihara keamanan, tolak kebencian dan kekalkan ingatan sejarah – Hajiji

Read Time:2 Minute, 36 Second

SANDAKAN: Keamanan perlu dipelihara melalui tindakan yang mempertahankan maruah manusia, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan serta tidak menutup mata terhadap penderitaan yang dialami oleh orang lain.

Beliau berkata masyarakat mesti menolak kebencian, tindakan yang merendahkan nilai kemanusiaan serta sikap tidak peduli yang boleh membuka ruang kepada tragedi kemanusiaan berulang.

“Sejarah ini tidak seharusnya digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya, ia mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dibawa oleh kebencian.

“Kemenangan semata-mata tidak pernah mencukupi sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar,” katanya pada Upacara Peringatan Hari Sandakan yang berlangsung di Taman Peringatan Sandakan, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata antara tahun 1942 hingga 1945, ketika kemuncak Perang Dunia Kedua, kira-kira 2,700 tawanan perang Australia dan British melalui Sandakan dalam peristiwa bersejarah yang dikenali sebagai Sandakan Death March menuju ke Ranau.

Menurut beliau, menjelang Januari 1945, seramai 2,434 tawanan masih berada di Sandakan, terdiri daripada 1,793 warga Australia dan 641 anggota tentera British.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,428 orang meninggal dunia dan hanya enam warga Australia terselamat, kesemuanya selepas berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata enam individu yang terselamat itu ialah Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham, yang kisah perjuangan mereka menjadi simbol ketabahan dalam menghadapi penderitaan dan penindasan.

Katanya, kelangsungan hidup mereka bukan sahaja hasil kecekalan diri, malah dibantu oleh penduduk tempatan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan sendiri demi menyelamatkan nyawa manusia.

“Owen Campbell misalnya dibantu oleh dua penduduk tempatan dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud.

“Terdapat juga individu lain yang namanya wajar dikenang seperti Bariga, Dihil bin Ambilid, Abing, Kulang dan ramai lagi yang keberanian mereka mungkin tidak akan dapat direkodkan sepenuhnya,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk tempatan termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan yang mengumpul maklumat dan membantu para tawanan walaupun berdepan risiko yang amat besar.

Menurut beliau, sebahagian daripada anggota gerakan bawah tanah tersebut akhirnya dihukum mati kerana keberanian mereka menentang kekejaman perang.

“Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri. Apabila melihat penderitaan, mereka memilih untuk membantu.

“Keberanian mereka adalah sebahagian daripada sejarah Sandakan dan Sabah, dan ia mesti terus dikenang,” katanya.

Beliau berkata keberanian tidak semestinya hadir dalam bentuk perjuangan bersenjata, sebaliknya boleh dizahirkan melalui tindakan kecil yang memberi harapan kepada mereka yang menderita.

“Kadangkala keberanian itu berupa sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadangkala ia berupa tempat untuk berlindung. Kadangkala ia berupa sebuah perahu yang berpatah balik menuju kepada seseorang yang meminta pertolongan,” katanya.

Hajiji berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua dan mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk memelihara warisan sejarah tidak berakhir selepas upacara peringatan itu.

“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda mengenai apa yang berlaku di sini, dan terus mengenang nama para tawanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengajaran daripada tragedi Sandakan Death March perlu terus dijadikan panduan dalam usaha membina masyarakat yang menghargai keamanan, menolak kebencian dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan demi generasi masa depan.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji hadir Kongres Nasional KEADILAN 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular