RANAU : Pelari Itali, Alex Oberbacher dan pelari Sepanyol, June Villaroel muncul juara kategori elit lelaki dan wanita pada Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-33 yang berlangsung di Taman Kinabalu, di sini pada Ahad.
Oberbacher, 32, menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 20 minit 54 saat (3:20.54), manakala Villaroel, 25, mengungguli kategori elit wanita dengan masa 4:09.14.
Bagi kategori Veteran Lelaki, pelari Rusia, Markov Evegenii muncul juara dengan catatan 3:29.11.
Perlumbaan yang merupakan antara cabaran larian gunung paling berprestij di rantau ini menyaksikan penyertaan pelari dari 26 negara, termasuk Malaysia, Jepun, Filipina, Singapura, Indonesia, Australia, Itali, Rusia, Sepanyol, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Acara itu turut menjadi pusingan ke-17 Merrell Skyrunner® World Series 2026, sekali gus menempatkan Gunung Kinabalu sebagai antara pentas penting dalam kalendar larian gunung antarabangsa.
Perlumbaan sejauh 24.5 kilometer itu bermula dari kawasan bawah Gunung Kinabalu sebelum peserta mendaki sehingga ke puncak pada ketinggian 4,095.2 meter, sebelum kembali ke garisan penamat melalui laluan menurun yang mencabar.
Perlumbaan dilepaskan pada jam 6.30 pagi di Dewan Kinabalu oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Bercakap selepas perlumbaan, Oberbacher berkata kemenangan itu bukan mudah berikutan laluan pendakian yang panjang dan mencabar, selain faktor ketinggian yang menyebabkan peserta berdepan kesukaran bernafas.
“Perlumbaan ini sangat sukar tetapi pemandangannya sangat indah. Pendakian sangat panjang dan kami perlu mencapai ketinggian 4,000 meter, jadi sukar untuk bernafas.
“Namun, ia sangat berbaloi kerana pengalaman dan pemandangannya benar-benar menakjubkan,” katanya.
Oberbacher berkata kelebihan beliau lebih terserlah ketika menuruni gunung selepas berdepan cabaran ketika pendakian.
“Biasanya saya lebih baik ketika mendaki, tetapi hari ini saya berasa sangat penat dan terpaksa melalui banyak anak tangga. Saya tidak mempunyai pendakian sebesar ini di tempat asal saya, jadi bahagian mendaki memang sangat sukar.

“Bagaimanapun, saya sangat baik ketika menuruni gunung dan melakukan penurunan yang bagus. Itulah antara sebab saya memenangi perlumbaan ini,” katanya.
Pelari yang mempunyai latar belakang sukan ski merentas desa dan ski mendaki itu berkata beliau mula serius dalam larian sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, penyertaan di Gunung Kinabalu adalah pengalaman yang sudah lama diimpikannya selepas melihat video dan gambar perlumbaan itu sebelum ini.
“Saya pernah melihat video dan gambar perlumbaan tahun lalu dan terfikir, ‘Wow, saya mahu datang ke sini satu hari nanti’.
“Perjalanannya memang sangat jauh, tetapi saya fikir sekali seumur hidup saya mahu datang ke sini. Sekarang saya sudah berada di sini dan mungkin selepas ini saya akan datang lagi,” katanya.
Sementara itu, Villaroel berkata kemenangan tersebut di luar jangkaannya memandangkan beliau baru pulih daripada kecederaan sebelum menyertai perlumbaan berkenaan.
Katanya, beliau pada awalnya hanya mahu menikmati pengalaman perlumbaan tanpa meletakkan sasaran untuk menang.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Saya baru kembali daripada kecederaan, jadi saya tidak pasti keadaan badan saya.
“Saya hanya mahu menikmati perlumbaan kerana tidak tahu bagaimana keadaan tubuh saya akan bertindak balas,” katanya.
Beliau berkata bahagian pendakian menjadi antara cabaran paling besar, terutama apabila menghampiri bahagian atas, manakala laluan menurun pula menyeronokkan tetapi memerlukan tumpuan tinggi kerana keadaan trek yang teknikal.
“Saya sangat penat ketika bahagian pendakian kedua. Ketika menuruni gunung pula memang menyeronokkan, tetapi saya turut terjatuh.
“Kita perlu berhati-hati kerana laluannya sangat teknikal,” katanya.
Villaroel berkata beliau sudah lama berhasrat mengunjungi Sabah selepas tertarik dengan keindahan Gunung Kinabalu dan akhirnya berpeluang merealisasikan impian itu tahun ini.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mencuba pengalaman mendaki Gunung Kinabalu kerana pemandangan dari puncak berbaloi dengan cabaran yang perlu ditempuhi.
“Saya sudah lama mahu datang kerana Gunung Kinabalu kelihatan sangat indah. Tahun ini saya mendapat peluang dan akhirnya berada di sini.
“Jika mahu mendaki Gunung Kinabalu, saya nasihatkan supaya mencubanya kerana ia sangat berbaloi, terutama pemandangan di puncak,” katanya.
Dalam kategori elit lelaki, Daniel Antonioli dari Itali menduduki tempat kedua dengan catatan 3:23.46, manakala Shoma Otagiri dari Jepun di tempat ketiga dengan masa 3:29.54.
Kategori elit wanita pula menyaksikan Svetlana Nurmukhametova dari Rusia di tempat kedua dengan catatan 4:18.45, diikuti Vanja Cnops dari Belgium di tempat ketiga dengan 4:42.19.
Bagi kategori Veteran Lelaki, Ivan Vlasenko dari Rusia menduduki tempat kedua dengan masa 3:51.02, manakala wakil Malaysia, Daved Simpat, di tempat ketiga dengan catatan 3:52.21.
Climbathon tahun ini berlangsung di Taman Kinabalu, yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2000 dan sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark yang diiktiraf pada 2023.
Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu mula dianjurkan pada 1987 dan kini menjadi antara acara ikonik dalam kalendar sukan Sabah.
Penganjuran edisi ke-33 itu dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah melalui anak syarikatnya, Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd dengan kerjasama Taman-Taman Sabah.



