PUTRAJAYA :- Perwakilan DAP Sabah, Philip Yap, menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil iktibar daripada penolakan rakyat terhadap parti itu di Sabah dengan memberi perhatian lebih serius kepada hak negeri, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta dasar yang membebankan kehidupan rakyat.
Menurutnya, rakyat Sabah kini lebih mengutamakan penyelesaian terhadap tuntutan hak negeri, khususnya pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus, berbanding penerangan mengenai pencapaian Kerajaan Madani.
Beliau berkata kegagalan memberikan penjelasan yang jelas mengenai tuntutan tersebut telah menimbulkan persepsi bahawa Putrajaya tidak cukup serius dalam menangani hak Sabah.
“ Semasa kempen PRN di negeri Sabah, Perdana Menteri ketika di Jalan Gaya dan ditanya oleh rakyat Sabah, Datuk Seri Bila bayar 40%?” Datuk Seri Anwar jawab, satu pun tak betul.
Sampai sekarang pun tiada jawapan yang yang betul, satu penjelasan yang baik untuk rakyat Sabah.
Ini memberi gambaran kepada rakyat negeri Sabah bahawa kerajaan Persekutuan ini tidak serius terhadap tuntutan hak 40% negeri Sabah ini sehingga hari ini katanya ketika berucap di Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Walaubagaimanapun, Philip mengakui pemberian khas sebanyak RM1.5 bilion kepada Sabah merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah, berbanding RM26 juta sebelum ini. Bagaimanapun, katanya, peningkatan pemberian khas tahunan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus.
Beliau mahu satu mekanisme penyelesaian yang jelas dilaksanakan dalam tempoh yang ada sebelum pilihan raya umum akan datang.
Tambah Philip lagi, DAP turut menerima kesan daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap beberapa dasar Kerajaan Persekutuan yang dilihat kurang mengambil kira keadaan ekonomi dan geografi Sabah.
Antara perkara yang dibangkitkannya ialah pelaksanaan gaji minimum RM1,700, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta e-Invois ketika banyak perniagaan kecil masih berhadapan keadaan ekonomi yang mencabar.
Katanya, pelaksanaan beberapa dasar secara serentak meningkatkan tekanan terhadap peniaga dan rakyat yang sudah bergelut dengan kos operasi serta pendapatan yang tidak menentu.
” Rakyat Sabah menghukum DAP di Sabah juga kerana dasar-dasar kerajaan persekutuan yang tidak mesra kepada rakyat Sabah”
” Saya ambil contoh, gaji minimum kita 1,700, banyak kita nampak banyak perniagaan yang sekarang menghadapi masalah ekonomi, masalah susah mau cari duit, susah untuk teruskan kehidupan, susah untuk cari makan kerana business teruk, business yang lemah tak dapat menjana ini pendapatan.
Dan dalam masa yang sama, ini SST datang, E-Invoicing pun datang, semua datang bertubi-tubi. Jadi, ini memberi kesusahan kepada para peniaga di negeri Sabah, kepada rakyat Sabah khususnya.
Jadi ini adalah faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan kita di Sabah.“ya betul kita reformasi ini, reform kita kena laksanakan, tetapi suara rakyat di lapangan tu kita kena dengar katanya.
Philip turut menyentuh bantuan subsidi diesel BUDI MADANI, khususnya kuota 200 liter yang disifatkannya tidak mencukupi bagi penduduk luar bandar Sabah.
Baru-baru ini yang sangat menguris hati rakyat Sabah, iaitu kasar budi diesel, diesel untuk Sabah ini. Kasihan saya tengok rakyat Sabah, hanya dibagikan 200 liter.
Beliau memberi contoh keluarga di pedalaman yang perlu menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer untuk menghantar anak ke sekolah. Perjalanan pergi dan balik sejauh 100 kilometer sehari menyebabkan penggunaan diesel jauh lebih tinggi berbanding di kawasan yang mempunyai rangkaian pengangkutan lebih baik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kuota berkenaan dinaikkan kepada 500 liter dengan syarat kelayakan yang lebih sesuai dengan realiti kehidupan rakyat Sabah.
“ Ini sangat susah kita kena isi minyak kena bagi Kad Pengenalan (IC). Itulah rakyat bagi tahu kita, sekarang kerajaan ni menyusahkan rakyat. Menyusahkan rakyat kita Sabah”.
Philip juga mendakwa sebahagian pemohon terpaksa menukar pemilikan kenderaan daripada syarikat kepada persendirian bagi memenuhi syarat bantuan. Proses itu, katanya, boleh menyebabkan mereka menanggung kos pemeriksaan Puspakom, insurans dan kehilangan diskaun tanpa tuntutan atau NCD.
Menurutnya, penjimatan subsidi tidak seharusnya dibuat tanpa menilai kos tambahan yang akhirnya terpaksa ditanggung rakyat.
Beliau menegaskan Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya menuntut layanan yang adil berdasarkan keadaan negeri yang mempunyai kawasan luas, penempatan berselerak, perjalanan jauh serta kemudahan jalan raya, pelabuhan dan pengangkutan yang masih terbatas.
Dalam masa sama, Philip menyatakan pendiriannya untuk DAP terus kekal dalam kerajaan. Namun, katanya, kedudukan itu mesti digunakan untuk menyuarakan kepentingan rakyat, melaksanakan reformasi dan menghasilkan perubahan yang dapat dirasai.
“Kekal, tetapi kita harus berubah. Kekal, tetapi kita harus bersuara. Kita mesti menyampaikan hasil dan terus menuntut hak 40 peratus untuk Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penghormatan terhadap hak Sabah dalam kerangka MA63 bukan sahaja penting kepada hubungan Persekutuan-negeri, malah menjadi ukuran utama rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menjamin keadilan kepada Sabah.
“Apabila rakyat Sabah bersuara, Putrajaya harus dengar” katanya mengakhiri ucapannya.



