HomeUtamaTimpohon Run 2026: Donal pertahan gelaran, Nancy cipta rekod baharu

Timpohon Run 2026: Donal pertahan gelaran, Nancy cipta rekod baharu

Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Pelari dari Tambunan, Donal Ronaldi Lasius mempertahankan kejuaraan kategori Terbuka Lelaki pada Timpohon Run 2026, manakala Nancy Bongkuron dari Kiulu muncul juara Terbuka Wanita dengan catatan rekod baharu.

Donal menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 50 minit lapan saat, sekali gus meraih gelaran kedua dalam penampilan keduanya pada acara berkenaan.

Donal ketika menamatkan perlumbaan – Foto Sri Pelancongan Sabah

Nancy mencatat masa satu jam lapan minit 30 saat untuk menjuarai kategori Terbuka Wanita, sekali gus mencipta rekod baharu bagi kategori itu.

Nancy ketika menamatkan perlumbaan – Foto Sri Pelancongan Sabah

Acara yang berlangsung di Taman Kinabalu pada Sabtu itu menghimpunkan 331 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk menyertai cabaran larian gunung menjelang Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-33.

Timpohon Run 2026 dianjurkan sebagai acara pembuka kepada temasya larian gunung berkenaan, selain memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO.

Peserta dilepaskan di Dewan Kinabalu – Foto Sabah Park

Dengan jarak laluan kira-kira 9.8 kilometer, acara itu turut membuka peluang kepada peserta daripada pelbagai tahap pengalaman untuk mencuba sukan larian gunung.

Laluan perlumbaan bermula di Pintu Utama Taman Kinabalu sebelum menuju ke Pintu Timpohon, melalui denai Mempening, melepasi Restoran Liwagu dan berakhir di Dewan Kinabalu.

Peserta diberikan tempoh empat jam 30 minit untuk menamatkan perlumbaan, manakala petugas ‘sweepers’ ditempatkan bagi membantu memastikan semua pelari kembali ke garisan penamat dengan selamat.

Lima pelari terbaik bagi setiap kategori, iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita, menerima hadiah wang tunai masing-masing sebanyak RM500, RM400, RM300, RM200 dan RM150.

Pemenang bagi kategori lelaki – Foto Sri Pelancongan Sabah

Acara itu dilepaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah merangkap Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah, Anthea James Jipanus, bersama Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Raime Unggie.

Pemenang bagi kategori wanita – Foto Sri Pelancongan Sabah

Turut hadir Timbalan Pengerusi Taman-Taman Sabah, Christopher Lingam; Timbalan Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Datuk Mohd Reduan Aklee; Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim dan Penolong Pengarah Pejabat Ibu Pejabat Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar.

Penganjuran Timpohon Run merupakan sebahagian daripada usaha menggalakkan aktiviti rekreasi luar, penyertaan komuniti serta mempromosikan produk pelancongan berasaskan pergunungan di Sabah.

Acara itu juga memberi peluang kepada peminat sukan larian untuk mengambil bahagian dalam aktiviti menjelang salah satu acara larian gunung utama negeri ini.

Tumpuan seterusnya terarah kepada Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-33 yang dijadual berlangsung esok.

Pelari elit dan berpengalaman dari seluruh dunia bakal mengharungi laluan mencabar sejauh 24.5 kilometer yang merangkumi pendakian dan penurunan Gunung Kinabalu sehingga ketinggian 4,095.2 meter.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembangunan Sabah perlu pelihara alam, jamin kesejahteraan rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular