TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 15 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang bagi memastikan suara negeri itu lebih kuat di peringkat nasional.
Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kemenangan besar GRS penting bagi membolehkan lebih banyak kepentingan dan keperluan rakyat Sabah diperjuangkan di peringkat Persekutuan.
“Insya-Allah, sasaran kita paling kurang kita dapat 15 kerusi. Jadi, di sini (Tawau), kita ada dua kerusi yang kita akan pertahankan iaitu Parlimen Tawau dan juga Parlimen Kalabakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wanita GRS Zon 6A Bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di sini, semalam.
Menurut Azizah, sasaran berkenaan memerlukan jentera GRS di semua peringkat terus memperhebatkan gerak kerja bersama rakyat, termasuk di dua kawasan Parlimen berkenaan.
“Hari ini sebahagian daripada jentera Wanita kita hadir di sini dalam pertemuan ini. Kita minta mereka untuk terus bekerja, turun ke padang. Walaupun mereka memang sudah bekerja, kita mahu ia diperhebatkan lagi kerja mereka untuk terus turun ke padang bersama-sama dengan rakyat.
“Kerja bersama rakyat ini bukan semasa kita berhadapan dengan rakyat saja ataupun semasa kempen, tetapi sepanjang masa,” ujarnya.
Menurutnya, kekuatan suara Sabah di Parlimen amat penting bagi memastikan lebih banyak perkara berkaitan pembangunan, kemiskinan, pendidikan dan akses kemudahan dapat terus diperjuangkan.
“Kita mahu memastikan suara Sabah itu kuat di peringkat nasional. Itu yang penting. Inilah perjuangan GRS.
“Ada banyak lagi yang perlu kita perjuangkan untuk Sabah. Kita perlu fikir apakah lagi yang diperlukan oleh negeri kita dan apa yang masih diperlukan oleh rakyat kita di negeri ini,” jelas beliau lagi.
Tambah beliau lagim antara fokus yang perlu terus diberi perhatian ialah usaha mendapatkan lebih banyak peruntukan dan pembangunan, selain memastikan rakyat Sabah dapat menikmati akses kemudahan secara menyeluruh serta keluar daripada kemiskinan.
“Kita mahu lebih banyak peruntukan, banyak pembangunan. Memastikan aksesibiliti dapat kita capai secara menyeluruh dan rakyat kita dapat kita keluarkan daripada kemiskinan.
“Ada banyak perkara lagi seperti pendidikan dan sebagainya. Semua ini kerana kita mahu memajukan rakyat kita di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai calon wanita GRS pada PRU akan datang, Azizah berkata pihaknya tidak menetapkan kuota tertentu, sebaliknya pemilihan akan berdasarkan keupayaan calon untuk menang dan menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Katanya, calon wanita yang berpotensi dan memenuhi kriteria sewajarnya diberikan peluang untuk bertanding.
“Kalau memang kawasan itu layak ada wanita yang berpotensi, berkemampuan untuk menang dan memenuhi kriteria untuk menjadi seorang pemimpin, seorang wakil rakyat, kenapa tidak?
“Jangan menolak calon wanita yang berpotensi. Kalau calon wanita itu ada potensi, maka berilah dia peluang untuk bertanding,” katanya.
Beliau yakin GRS mempunyai ramai pemimpin wanita berkelayakan daripada pelbagai latar belakang yang mampu membawa suara rakyat Sabah secara berkesan di Parlimen.
Azizah berkata, perkara paling penting bagi GRS adalah kemenangan parti bagi memastikan perjuangan Sabah di peringkat nasional dapat diperkukuh.
“Matlamat kita sebagai orang politik ialah kita mesti mahu menang. Untuk memastikan suara Sabah itu kuat di peringkat nasional. Itu yang penting,” katanya.



