RANAU: Masyarakat di Sabah digalak melihat sektor pertanian dengan perspektif baharu menerusi pemanfaatan teknologi dan ilmu pengetahuan bagi menjadikan bidang itu sebagai kerjaya serta peluang keusahawanan yang mempunyai masa depan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pertanian kini bukan lagi sekadar pekerjaan tradisional, sebaliknya mampu berkembang sebagai bidang moden yang berpotensi menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
Beliau turut menyeru masyarakat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi kursus serta program berkaitan pertanian untuk dikembangkan dalam aktiviti yang lebih produktif dan bernilai komersial.
“Dengan lebih ramai menceburi bidang ini, kita mampu memperkukuh ekonomi luar bandar dan memajukan sektor pertanian Sabah,” katanya ketika merasmikan Kursus Inovasi Pembuatan Baja Organik Peringkat Mukim Tambiau Mohimboyon di Kampung Kibbas Sokid, di sini, Sabtu lalu.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa membuka ruang kepada golongan belia menerusi pelbagai bantuan dan sokongan keusahawanan, termasuk Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) dan Program Agropreneur Muda.
“Usaha ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk melahirkan bukan sahaja belia yang aktif dalam bidang pertanian, tetapi juga usahawan muda yang mampu menggerakkan industri pertanian Sabah,” katanya.
Kursus berkenaan dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan kemahiran kepada masyarakat setempat dalam menghasilkan baja organik untuk kegunaan pertanian, selain menggalakkan pemanfaatan bahan organik yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.
Seramai 30 peserta daripada pelbagai peringkat umur menyertai kursus itu dan masing-masing menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan atas penglibatan mereka dalam program berkenaan.



