HomeUtamaGuna MyKad orang lain, warga Indonesia didenda RM5,000

Guna MyKad orang lain, warga Indonesia didenda RM5,000

Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh J Evachel John

KUALA PENYU: Seorang lelaki warga Indonesia didenda RM5,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Litar Kuala Penyu kerana menggunakan MyKad milik orang lain untuk menaiki feri di Terminal Menumbok.

Majistret Zuraini Ali Musa menjatuhkan hukuman itu terhadap Andy Moh Hong Lu, 30, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan, Andy tanpa sebab munasabah menggunakan MyKad yang dikeluarkan kepada individu lain di Kaunter Pemeriksaan Feri Terminal Menumbok, kira-kira jam 3.55 petang pada 17 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Andy hadir di Kaunter Pemeriksaan Feri Terminal Menumbok untuk pemeriksaan dokumen perjalanan dan mengemukakan MyKad berkenaan kepada pegawai imigresen bagi tujuan pengesahan identiti untuk menaiki feri.

Pegawai imigresen yang meragui status dokumen itu kemudian meminta Andy menyebut nombor MyKad berkenaan, namun dia gagal berbuat demikian.

Andy kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Menumbok untuk pengecaman kali kedua dan beliau mengemukakan salinan sijil lahir.

Namun, Andy gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pas yang sah untuk berada dan tinggal di Malaysia sebelum ditangkap kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

MyKad yang dikemukakan Andy kemudian dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Sipitang untuk pengesahan, dan semakan sistem serta cap jari pada 18 Mei mendapati kad pengenalan berkenaan tidak merujuk kepadanya.

Siasatan lanjut mendapati MyKad yang digunakannya ketika pemeriksaan imigresen itu dikeluarkan kepada individu lain.

Siasatan turut mendapati Andy merupakan warganegara Indonesia yang mempunyai pasport Indonesia dan turut memiliki sijil kelahiran Malaysia atas nama Andy Moh Hing Lu bernombor 386/96 yang berstatus bukan warganegara.

Dalam rayuannya, Andy memohon hukuman diringankan atas alasan mempunyai tanggungan ibu dan adik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga didakwa miliki lebih 8kg racun mitragynine

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular