HomeUtamaArmizan bantu penduduk Kudat sahkan dokumen geran tanah

Armizan bantu penduduk Kudat sahkan dokumen geran tanah

Read Time:1 Minute, 3 Second

KUDAT: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali membantu penduduk setempat mendapatkan pengesahan dokumen bagi Program NIC – Pembetulan Nama dan Nombor Kad Pengenalan dalam Geran Tanah di Dataran Tomborungus, di sini pada Sabtu.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Ahli Parlimen Papar berkata, program itu menyediakan perkhidmatan percuma kepada pemilik geran tanah di Sabah untuk membetulkan maklumat nama dan nombor kad pengenalan, dengan pembetulan dapat diselesaikan serta-merta.

Beliau berkata, ketepatan maklumat dalam geran tanah penting bagi melancarkan pelbagai urusan berkaitan tanah, termasuk tuntutan waris, jual beli dan urusan perbankan.

Menurutnya, beliau yang berkhidmat sebagai Jaksa Pendamai (JP) sejak 2010 turut bersama beberapa rakan JP lain membantu mengesahkan dokumen berkaitan bagi memudahkan urusan penduduk.

“Perkhidmatan JP adalah percuma, berbanding fi tertentu yang perlu dibayar sekiranya penduduk menggunakan perkhidmatan pesuruhjaya sumpah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata, selain membantu mengesahkan dokumen, beliau turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan menyantuni penduduk yang hadir mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah kerana membawa perkhidmatan itu secara langsung kepada penduduk Kudat.

Lawatan itu diadakan sempena kehadiran Armizan ke Konvensyen GRS yang dijadual berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kudat, Ahad ini (18 Okt).

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji tinjau pembinaan 20 Rumah Mesra SMJ di Kudat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular