KOTA KINABALU: Seramai 153 individu menerima Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Negeri Sabah dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sabah bersempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Istiadat yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu pada Isnin itu menyaksikan pengurniaan pelbagai darjah kebesaran dan pingat kepada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, kesihatan, korporat, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Pengurniaan dimulakan dengan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk kepada Ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan dan pakar perubatan hospital swasta, Datuk Dr. Ahmad Ashraf Zaini Amat, bersama 13 penerima lain.
Dalam istiadat berkenaan, Tun Musa turut mengurniakan watikah Jaksa Pendamai (J.P) kepada tokoh korporat, Muhammad Yazrin Zaifuddin Zainuddin sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada masyarakat dan pembangunan negeri.
Sementara itu, seramai 23 individu menerima darjah kebesaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K), termasuk Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan, Datuk Ir. Ts. Huszian Husin, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar serta penulis dan pengkaji sejarah tempatan, Abednigo Chow Yau Shung.

Turut menerima pengiktirafan ialah 34 penerima Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K), antaranya Mantan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, Presiden Persatuan Orang Kerdil Sabah, Asna @ Asnah Yusop, pengarah, penyanyi dan pelakon terkenal Sabah, Ebi Kornelis @ Fidaus Yaimal serta Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Sabah, Emran @ Azmi Rosle.

Selain itu, seramai 37 individu menerima Bintang Setia Kinabalu (B.S.K), manakala 30 lagi dianugerahkan Bintang Kinabalu (B.K). Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) pula dikurniakan kepada 13 penerima sebagai penghargaan terhadap jasa dan komitmen mereka dalam bidang masing-masing.



