SHAH ALAM : Tiga acara sukan iaitu memanah, menembak dan sepak takraw menjadi antara sandaran pingat emas untuk kontinjen Sabah pada saingan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di sini pada Selasa.
Sandaran utama kontinjen negeri itu masing-masing hadir menerusi acara Qualification Round Recurve dalam memanah, 10m Air Pistol bagi menembak serta Berpasukan Wanita dalam sepak takraw.
Dalam acara memanah yang berlangsung di Stadium INSPEN, Sabah mempertaruhkan Quik Chern Xin dan Evan Rich Chong Qi Wei dalam usaha memburu emas.
Kedua-dua atlet itu dijadualkan beraksi dalam pusingan kelayakan/penentuan yang berlangsung dari 10.15 pagi hingga 11.45 pagi, sekiranya berjaya melayakkan diri ke peringkat berkenaan.
Sabah menyasarkan satu emas daripada dua pingat emas yang dipertandingkan dalam disiplin memanah hari ini.
Sementara itu, dalam acara menembak di Lapang Sasar Negara Subang, perhatian terarah kepada Damya Carmila Mohd Asineh @ Mohd Asneh yang menjadi prospek emas Sabah dalam acara 10m Air Pistol.
Damya dijadualkan turun beraksi dalam peringkat akhir dari 11.15 pagi hingga 12.15 tengah hari, sekiranya layak, dengan Sabah menyasarkan satu daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan dalam sukan menembak hari ini.
Satu lagi sandaran emas hadir menerusi skuad sepak takraw wanita Sabah yang akan beraksi dalam acara Berpasukan Wanita di Arena MBSJ Puchong.
Aksi final dijadualkan berlangsung pada 3 petang, dengan Sabah mengintai satu daripada dua emas yang dipertandingkan dalam sepak takraw hari ini.
Selain tiga acara berkenaan, atlet Sabah turut meneruskan cabaran dalam Lawn Bowls menerusi acara akhir Men Triples yang dijadualkan berlangsung dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Secara keseluruhannya, sebanyak 42 pingat emas, 42 perak dan 42 gangsa dipertandingkan pada hari ini daripada keseluruhan 468 emas, 468 perak dan 586 gangsa yang menjadi rebutan sepanjang temasya.
Sebanyak 11 acara menawarkan pingat pada hari ini, iaitu olahraga dengan 10 emas, menembak (tujuh), lawn bowls (empat), catur (empat), angkat berat (tiga), berbasikal lebuh raya (tiga), memanah (dua), sepak takraw (dua), skuasy (dua), tenpin boling (dua) dan kriket (satu).
Dalam pada itu, beberapa sukan lain turut meneruskan saingan masing-masing termasuk badminton, bola jaring, bola keranjang 5×5, bola sepak, bola tampar dewan, futsal, golf, hoki, pelayaran, pencak silat, petanque, ping pong, sofbol, tenis dan tinju.
Kontinjen Sabah bagaimanapun tidak menyertai pertandingan bagi acara kabaddi. – SABAH MEDIA



