PUCHONG : Pasukan sepak takraw berpasukan wanita Sabah bakal turun berentap menentang Perak dalam perlawanan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Arena MBSJ Puchong, di sini pada Selasa.
Aksi penentuan pingat emas itu dijadualkan bermula pada jam 3 petang ini di Arena MBSJ Puchong di sini.
Pertembungan tersebut menjadi peluang terbaik buat Sabah untuk merealisasikan sasaran emas yang diletakkan kontinjen negeri menerusi acara sepak takraw.
Skuad Sabah yang berjaya melangkah ke pentas akhir kini hanya dipisahkan satu kemenangan daripada emas, namun dijangka berdepan tentangan sengit daripada Perak yang turut hadir dengan misi sama untuk muncul juara.

Aksi final itu dijangka menjadi antara tumpuan utama kontinjen Sabah pada hari ini, khususnya dalam usaha menambah koleksi emas negeri pada temasya SUKMA.
Sabah kini mengharapkan barisan pemainnya mampu menampilkan aksi terbaik, mengawal tekanan perlawanan akhir dan mengekalkan momentum positif bagi menamatkan saingan dengan kejayaan.
Pada temasya SUKMA di Sarawak 2024, Sabah berjaya menyapu bersih hampir semua pingat emas yang dipertandingkan. – SABAH MEDIA



