Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Pemain tengah import dari Amerika Syarikat, Mai Lisa Atis muncul wira Sabah FA apabila meledak lima gol untuk membantu pasukan itu membelasah Rovers FC dari Guam 13-0 dalam aksi kedua peringkat awal Kumpulan A Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 di Stadium Likas, malam ini.
Aksi cemerlang Mai Lisa menyaksikan dia menjadi antara tonggak utama pesta gol Sabah FA, apabila menyumbang jaringan pada minit ke-25, ke-34 dan masa kecederaan babak pertama sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-66 dan ke-81.
Tiga gol yang dijaringkannya pada babak pertama membantu Sabah FA menamatkan separuh masa dengan kelebihan 5-0 selepas Ayuri Terawaki membuka tirai jaringan pada minit ke-11 dan Enzi Hekima Starks Broussard menyumbang gol keempat pada minit ke-39.
Memasuki babak kedua, Mai Lisa terus menunjukkan ketajamannya apabila menjaringkan gol kesembilan Sabah FA pada minit ke-66 untuk melengkapkan hatrik peribadinya dalam perlawanan berkenaan.

Belum puas dengan tiga jaringan, pemain tengah itu sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-81 untuk menghasilkan gol ke-11 Sabah FA dan melengkapkan koleksi lima gol peribadi.
Persembahan Mai Lisa bukan sahaja membantu Sabah FA mencatat kemenangan besar, malah menyerlahkan keupayaan barisan serangan pasukan berkenaan yang menguasai sepenuhnya perlawanan sejak wisel permulaan.
Sabah FA sebelum itu sudah mendahului 5-0 pada separuh masa pertama sebelum terus menambah lapan gol pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan 13-0.
Selain lima gol Mai Lisa, Enzi Hekima turut mencuri tumpuan apabila meledak empat gol, manakala Ayuri Terawaki menyumbang dua gol.
An Sebin turut mencetak satu gol bagi melengkapkan pesta jaringan Sabah FA.
Kemenangan besar itu hadir selepas East Bengal FC dari India menewaskan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh 4-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Likas pada petang tadi.
Sabah FA kini berada dalam momentum terbaik untuk meneruskan cabaran dalam saingan peringkat awal AWCL 2026/2027. – SABAH MEDIA



