HomeUtamaVideo kanak-kanak dikerumuni di Papar tular, polis siasat

Video kanak-kanak dikerumuni di Papar tular, polis siasat

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dikerumuni beberapa individu di sebuah taman permainan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, ketika dihubungi Sabah Media hari ini, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Ogos lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah taman permainan di Papar dan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama beberapa individu lain berusia antara 13 hingga 18 tahun.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan selepas mangsa cuba menghisap puntung rokok walaupun telah ditegur dan dilarang oleh individu terbabit.

“Mangsa kemudian dipegang oleh beberapa individu, manakala seorang lagi dipercayai menyalakan pemetik api ke arah mangsa dengan tujuan menakutkannya.

“Sebahagian kejadian dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum video itu dikongsikan menerusi WhatsApp dan kemudiannya tersebar di media sosial,” katanya.

Heryan berkata, mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam kejadian itu.

Katanya, walaupun keluarga yang terlibat pada peringkat awal menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, polis meneruskan siasatan selepas menerima permintaan supaya tindakan lanjut diambil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, polis kini melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan pengadu, mangsa, saksi dan individu yang terlibat, selain menjalankan pemeriksaan di lokasi serta mendapatkan bahan bukti berkaitan.

Heryan turut menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau ketakutan kepada kanak-kanak, walaupun ia didakwa dilakukan atas alasan bergurau, menakutkan atau mendidik.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak tepat atau terus berkongsi rakaman berkenaan kerana kes ini melibatkan kanak-kanak dan masih dalam siasatan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak, termasuk penggunaan media sosial dan pendedahan kepada tabiat merokok dalam kalangan golongan bawah umur.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah catat 62 Peratus litupan hutan, antara tertinggi di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular