HomeUtamaYTL Power, JLand Bakal Bangunkan Kampus Pusat Data Berskala Gigawatt Di...

YTL Power, JLand Bakal Bangunkan Kampus Pusat Data Berskala Gigawatt Di Sedenak

Read Time:1 Minute, 48 Second

KUALA LUMPUR  – YTL Power International Bhd, menerusi anak syarikatnya SIPP Power Sdn Bhd, bakal memperoleh kira-kira 145 ekar tanah di Sedenak Tech Park West (STeP West), Johor bagi cadangan pembangunan sebuah kampus pusat data berskala gigawatt.

SIPP Power turut mempunyai opsyen untuk memperoleh tambahan sehingga 400 ekar bagi peluasan pada masa hadapan, yang berpotensi meningkatkan keluasan keseluruhan kampus itu kepada kira-kira 545 ekar.

Pembangunan itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara YTL Power dan JLand Group yang dilaksanakan menerusi anak syarikat JLand, JLG Technopark Sdn Bhd.

Kampus yang dicadangkan itu dijangka memperluas jejak pusat data YTL Power di Johor dengan ketara, selain melengkapi YTL Green Data Center Park miliknya di Kulai yang dirancang mempunyai kapasiti sehingga 1.2 gigawatt (GW).

Kedua-dua kampus di Sedenak dan Kulai itu akan menyediakan skala serta fleksibiliti tambahan kepada YTL Power untuk memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat terhadap pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital berintensifkan tenaga.

STeP terletak dalam Ibrahim Technopolis (IBTEC), dengan JLand Group bertindak sebagai pemaju induk. Taman teknologi itu merupakan platform JLand bagi pembangunan digital dan teknologi termaju berskala besar.

STeP West menandakan fasa peluasan seterusnya selepas STeP East dan mempunyai skala untuk menampung pelaburan utama dalam sektor pusat data dan AI.

Pengarah Urusan YTL Power Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata pembangunan kampus baharu itu merupakan peluasan penting bagi platform infrastruktur digital kumpulan berkenaan di Johor dan seluruh rantau ini.

“Bersama-sama kampus kami yang sedang berkembang di Kulai, Sedenak akan terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat serantau utama bagi kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan inovasi digital,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pengarah Urusan Kumpulan JLand Group Datuk Sr Akmal Ahmad pula berkata penyertaan YTL Power dalam ekosistem IBTEC akan membawa pelaburan infrastruktur digital yang signifikan serta memperkukuh sektor sokongan termasuk tenaga, utiliti dan teknologi.

Cadangan pembangunan itu dijangka menyokong peluang pekerjaan berkemahiran dalam bidang pembinaan, kejuruteraan, teknologi dan pengendalian pusat data.

Ia juga dijangka menjana aktiviti ekonomi yang lebih luas merentasi rantaian bekalan berkaitan tenaga, infrastruktur dan teknologi.

Johor semakin menjadi destinasi menarik bagi pelaburan infrastruktur digital global, disokong kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura, kesalinghubungan antarabangsa, pembangunan infrastruktur serta ekosistem teknologi yang semakin berkembang.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabitan diketepikan, pemilik dan pengurus syarikat pembalakan bebas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular