KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dipertimbangkan sekiranya disertai mekanisme rebat tunai bersasar bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Penganalisis ekonomi Rizwan Ramalan berkata walaupun pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak melaksanakan GST ketika ini bertujuan melindungi rakyat, kerajaan masih perlu mencari sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan bagi meningkatkan hasil negara.
Beliau berkata golongan B70, yang merangkumi sebahagian besar isi rumah Malaysia, amat terdedah kepada sebarang peningkatan kos sara hidup.
“Jika GST dilaksanakan, kerajaan akan berjaya mencukai golongan usahawan elit sekali gus menambah pendapatan negara dan boleh menyalurkan kekayaan tersebut kepada golongan B70.
“Namun, masalah yang timbul adalah pelaksanaan sistem GST akan meningkatkan harga barang dan membebankan B70,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rizwan berkata beliau bersetuju dengan prinsip Perdana Menteri untuk tidak membebankan rakyat, terutama ketika sebahagian isi rumah masih berdepan tekanan kos sara hidup dan inflasi dalam keadaan pemulihan ekonomi yang tidak sekata.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menolak GST sepenuhnya.
“Kita sudah mempunyai data hasil cukai sebelum GST, semasa GST dan selepas GST dimansuhkan. Apa yang kita perlukan adalah penyelesaian supaya pelaksanaannya tidak memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya.
Menurut Rizwan, pengalaman beberapa negara termasuk Singapura dan Kanada boleh dijadikan rujukan dengan menggabungkan cukai penggunaan bersama mekanisme rebat atau bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Beliau berkata melalui pendekatan itu, isi rumah berpendapatan rendah berpotensi memperoleh manfaat bersih sekiranya nilai bantuan atau rebat diterima melebihi jumlah cukai tambahan yang ditanggung.
“Contohnya, jika kos cukai yang ditanggung RM300 sebulan tetapi rebat atau bantuan diterima sebanyak RM400, isi rumah berkenaan memperoleh lebihan RM100 sebulan atau RM1,200 setahun,” katanya.
Rizwan berkata pendekatan sedemikian membolehkan kerajaan meningkatkan kecekapan kutipan hasil menerusi GST, manakala sebahagian hasil tambahan itu boleh disalurkan semula kepada kumpulan yang memerlukan.
Katanya, mekanisme rebat tunai juga boleh dilaksanakan secara dinamik dan fleksibel dengan kadar bantuan diselaraskan berdasarkan keadaan ekonomi, inflasi dan kos sara hidup semasa.
“Dengan menggunakan model ini, saya melihat kerajaan akan dapat menguruskan cukai dengan lebih cekap kerana sistem rebat tunai bersifat dinamik dan fleksibel serta boleh diubah mengikut keadaan ekonomi makro dan mikro semasa,” katanya.
Beliau turut berharap sekiranya pendekatan itu dipertimbangkan, agensi kerajaan berkaitan dapat membangunkan mekanisme yang mudah dan tidak membebankan rakyat dengan proses permohonan serta birokrasi yang rumit.
Rizwan berkata beliau bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha mencari sistem percukaian yang mampu meningkatkan hasil negara tanpa mengorbankan kebajikan rakyat.



